KUALA LUMPUR 5 Jun — Walaupun Digital Nasional Berhad (DNB) dijangka mencatatkan kerugian tahun ini, MBSB Research berpandangan impak berkenaan masih boleh diurus oleh syarikat telekomunikasi.
Menurut firma penyelidikan tersebut, kesan positif berkenaan sekali gus membuka ruang kepada penambahbaikan prestasi sektor telekomunikasi dalam tempoh sederhana bagi sepanjang tahun ini.
Peralihan struktur pemilikan DNB selepas pengunduran penuh oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dijangka meletakkan pemain industri seperti CelcomDigi, Maxis dan YTL dalam kedudukan lebih baik.
"Kami berpandangan kerugian bersih DNB yang berjumlah RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2024 (FY24) dijangka mengecil kepada RM900 juta hingga RM1 bilion pada 2026," jelas MBSB Research dalam nota.
Sehubungan itu tambahnya, kesan kepada keuntungan Maxis dan CelcomDigi dianggarkan masing-masing mampu mencecah sekitar RM80 juta sahaja pada tahun pertama pelaksanaan perakaunan ekuiti mereka.
Dalam perkembangan lain, firma itu mendapati persaingan segmen mudah alih semakin rasional apabila tumpuan kepada penawaran nilai tambah berbanding perang harga yang menjejaskan margin keuntungan.
Bagi suku pertama 2026, Maxis mencatat pertumbuhan hasil perkhidmatan 3.3%, diikuti CelcomDigi 1.6% dan Telekom Malaysia (TM) 2.9%, manakala Axiata menyusut 3.2% akibat kesan pertukaran asing.
"Kami turut melihat segmen jalur lebar tetap dan fiber kekal menjadi pemacu pertumbuhan industri, dengan Unifi terus mengekalkan kedudukan pasaran menerusi 3.23 juta pelanggan isi rumah," katanya.

Selain itu, permintaan rumusan perusahaan termasuk Internet Kebendaan (IoT), perkhidmatan awan dan keselamatan siber terus naik, disokong usaha penjanaan nilai 5G serta pertumbuhan pusat data (DC).
MBSB Research menambah, dari sudut kecekapan operasi pula, syarikat telekomunikasi dilihat semakin lebih berhati-hati dalam perbelanjaan modal (capex) dan kos operasi mereka dalam jangka sederhana.
CelcomDigi misalnya menyasarkan penjimatan kos sebanyak RM450 juta tahun ini menerusi transformasi struktur kos, manakala Maxis masih terus mengekalkan disiplin kos secara konsisten sejak 2023.
"Pasaran telekomunikasi semakin matang dengan pertumbuhan hasil tahunan hanya kadar rendah hingga sederhana, manakala peningkatan keuntungan bergantung kepada keupayaan pengurusan kos," katanya.
Pada masa sama ujar MBSB Research, penurunan harga saham sektor telekomunikasi sepanjang tahun ini turut menjadikan penilaian ke atas prospek saham mereka menjadi lebih menarik kepada pelabur.
Firma itu turut berpandangan sektor telekomunikasi kekal menjadi pilihan pelabur berorientasikan pendapatan berikutan komitmen syarikat untuk mengekalkan pembayaran dividen yang lebih kukuh.
Justeru, ia menaik taraf penarafan sektor telekomunikasi kepada 'positif' daripada 'neutral', dengan Maxis dan CelcomDigi dilihat antara penerima manfaat utama pertumbuhan permintaan. - DagangNews.com








