Prospek pasaran ekuiti Malaysia cerah, walaupun berdepan aliran keluar dana asing - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek pasaran ekuiti Malaysia cerah, walaupun berdepan aliran keluar dana asing - Maybank IB

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Sept — Pasaran ekuiti Malaysia dijangka lebih cerah, dengan penganalisis menjangkakan potensi kenaikan meskipun aliran keluar dana asing baru-baru ini susulan ketidaktentuan perdagangan global.

 

Menurut Maybank Investment Bank, Indeks MSCI Malaysia naik 4.4% dalam tempoh tiga bulan lalu, sedikit ketinggalan berbanding Indeks MSCI ASEAN yang mencatat 5.95%.

 

Bagaimanapun, penilaian saham yang menarik dan asas makroekonomi yang semakin kukuh dijangka membuka ruang kenaikan seterusnya.

 

“Penilaian harga-ke-untung (PE) ke hadapan kini diniagakan di bawah peratusan ke-25 dalam lingkungan 10 tahun lalu, sekali gus menyediakan titik masuk yang menarik,” kata MIBG dalam nota strategi pasaran terbaharu.

 

Pasukan makro bank itu mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang 4.2% pada 2025, disokong perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan, pertumbuhan pendapatan, serta kitaran pelaburan yang semakin rancak.

 

Unjuran ini menyangkal kebimbangan mengenai kemungkinan kejatuhan mendadak eksport Malaysia dan rantau ini, yang menurut Maybank IB, telah dibesar-besarkan.

 

“Kami lebih menggemari gabungan gaya Nilai dan Pertumbuhan serta saham modal kecil bagi menjana alpha,” tambah nota penyelidikan itu.

 

Momentum Pimpin Prestasi, Sentimen Pasaran Semakin Pulih

Maybank IB menjelaskan strategi berasaskan momentum mendahului prestasi dalam tempoh tiga bulan lalu, manakala gaya volatiliti rendah menjadi satu-satunya ketinggalan. Penjelasan mengenai tarif AS — ditetapkan pada 19% untuk Malaysia, lebih rendah daripada 24% yang dibimbangi sebelum ini — telah mencetuskan sentimen perdagangan berisiko (risk-on).

 

Menambah keyakinan, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan kerajaan menyasarkan pertumbuhan 5.0% setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030, sejajar dengan sasaran 5.1% di bawah RMK12, sekali gus memberikan kesinambungan dasar dan kepercayaan pelabur.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan profil prestasi faktor semasa akan kekal dalam jangka masa terdekat, meskipun dagangan berasaskan momentum dijangka sederhana selepas ini.

 

Pelarasan Portfolio: Kaunter Baharu Jadi Pilihan

Sebagai sebahagian pelarasan model portfolionya, Maybank IB memperkenalkan beberapa kaunter baharu merentasi portfolio Nilai, Pertumbuhan dan Kualiti.

 

Bagi Portfolio Nilai, tambahan baharu termasuk Bermaz, DXN, Critical Holdings, dan IGB Commercial REIT — syarikat dengan gabungan pendapatan domestik yang berdaya tahan serta penilaian yang menarik.

 

Dalam Pertumbuhan dan Kualiti, MN Holdings, Frontken, dan Greatech dipilih berikutan buku pesanan yang kukuh dan permintaan yang jelas, khususnya dalam pusat data, tenaga boleh baharu dan pembuatan berteknologi tinggi.

 

Bagi Portfolio Pertumbuhan, Maybank IB menambah Westports (pemulihan volum penghantaran), Gamuda (pencapaian projek besar yang berterusan), dan Farm Fresh (permintaan produk baharu, peluasan ke Filipina serta hab pembuatan baharu di Bandar Enstek pada awal 2026 untuk meningkatkan kapasiti).

 

Pelarasan tersebut mencerminkan kecenderungan terhadap syarikat yang mempunyai asas domestik kukuh, prospek pertumbuhan struktur dan penerima manfaat daripada kedua-dua pemangkin tempatan serta luaran. - DagangNews.com