Prospek MISC kukuh didorong kitaran Super FPSO yang dijangka memuncak - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek MISC kukuh didorong kitaran Super FPSO yang dijangka memuncak - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Dis – MISC Bhd berada pada landasan kukuh untuk memperluas perniagaan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) susulan potensi bermulanya kitaran super FPSO antara 2026 hingga 2029, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan data S&P Global, perbelanjaan modal luar pesisir global dijangka meningkat secara konsisten kepada AS$211 bilion menjelang 2029, berbanding sekitar AS$150 bilion pada 2026, sekali gus membuka ruang pertumbuhan besar kepada pemain FPSO seperti MISC.

 

Kitaran Super FPSO Dijangka Memuncak

S&P Global menjangkakan lapan penganugerahan FPSO pada 2026, diikuti 12 projek pada 2027 dan sembilan projek pada 2028, dengan tumpuan utama di Amerika Selatan dan rantau Asia Pasifik.

 

Menurut laporan Upstream Online, MISC kini berada pada peringkat persiapan atau sedang membida beberapa projek FPSO berskala besar di seluruh dunia, termasuk:

  • Albacora FPSO untuk Petrobras;

  • Projek Sergipe-Alagoas Deepwater bersama Hanwha Ocean dari Korea Selatan, berpotensi menempatkan dua FPSO untuk Petrobras;

  • FPSO Sepat untuk PETRONAS.

 

Maybank IB berkata pihaknya percaya MISC tidak akan mengambil lebih daripada satu projek pada satu masa demi mengelakkan tekanan ke atas keupayaan operasi dan penyata kewangan.

 

Namun, ini turut mencerminkan usaha aktif syarikat untuk merancakkan pertumbuhan segmen luar pesisirnya, terutama selepas Mero 3 mencapai first oil pada Oktober 2024.

 

Maybank IB mengekalkan saranan “HOLD” terhadap MISC dengan harga sasaran tidak berubah pada RM8.22, sambil menegaskan model perniagaan kumpulan yang defensif mampu menjana aliran tunai berulang dalam pasaran yang mencabar.

 

Firma itu turut mengekalkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 serta anggaran dividen tahunan 36 sen sesaham.

 

Prestasi Kewangan: Untung Naik Walau Hasil Susut

Bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2025, MISC mencatat keuntungan bersih RM541.8 juta, meningkat daripada RM338.9 juta pada suku sama tahun lalu. Pendapatan sesaham turut melonjak kepada 12.1 sen daripada 7.6 sen.

 

Bagaimanapun, hasil suku berkenaan turun kepada RM2.8 bilion daripada RM2.96 bilion sebelumnya, dipengaruhi oleh:

  • Penyusutan hasil dalam segmen marin dan kejuruteraan berat apabila projek menghampiri fasa siap;

  • Projek baharu yang masih di peringkat awal;

  • Lebih sedikit hari pendapatan ekoran tamat kontrak dan pelupusan kapal;

  • Kadar sewaan lebih rendah dalam segmen aset gas.

 

Untuk tempoh sembilan bulan (9M25), kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM1.71 bilion, meningkat daripada RM1.64 bilion pada 9M24, manakala hasil susut kepada RM8.33 bilion daripada RM9.93 bilion.

 

Prospek

MISC menjangkakan kadar sewaan kapal LNG spot terus berada di paras rendah disebabkan lebihan bekalan kapal berikutan penghantaran kapal baharu yang tinggi serta lebih banyak kapal menamatkan kontrak jangka panjang.

 

“Dengan paras inventori yang tinggi di Eropah dan permintaan yang perlahan di Asia, tekanan ke atas kadar sewaan spot dijangka berterusan sehingga hujung tahun.

 

“Kelemahan ini turut membawa risiko rosot nilai aset yang mungkin memberi kesan kepada penilaian jangka panjang segmen berkenaan,” katanya dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com