Prospek keuntungan ISF kukuh, Johor terus pacu pertumbuhan didorong projek pusat data - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek keuntungan ISF kukuh, Johor terus pacu pertumbuhan didorong projek pusat data - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Jan – Prospek keuntungan ISF Group dilihat kekal kukuh dengan pendapatan kumpulan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 39% bagi FY24 hingga FY27, disokong oleh pendedahan kukuh kepada projek pusat data dan hartanah perindustrian berpulangan tinggi, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Johor kekal sebagai pasaran teras ISF, menyumbang 68% daripada hasil 7M25, dengan peluang pertumbuhan dijangka terus dipacu oleh pembangunan pesat pusat data, projek hartanah perindustrian di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, serta pembangunan kediaman berhampiran stesen Rapid Transit System (RTS) Bukit Chagar.

 

Menurut RHB lagi, projek pusat data dan perindustrian menawarkan margin keuntungan kasar (GPM) yang lebih tinggi, iaitu sekitar 38% hingga 45%, berbanding 20% hingga 28% bagi projek kediaman, sekali gus menyokong peningkatan keuntungan kumpulan dalam tempoh unjuran.

 

"Setakat 9 Disember 2025, ISF merekodkan baki buku pesanan bernilai RM120.7 juta merangkumi lebih 15 projek, dengan hartanah kediaman menyumbang 56.9% daripada jumlah tersebut.

 

"Selain itu, kumpulan memiliki buku tender sekitar RM460 juta, dan berdasarkan anggaran kadar kejayaan 30%, penganalisis menjangkakan pengisian semula projek sebanyak RM140 juta pada FY26F dan meningkat kepada RM160 juta pada FY27F," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB berkata, prospek jangka panjang ISF turut disokong oleh perkembangan industri pusat data di Johor, di mana kesemua 48 pusat data di negeri itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030 dengan kapasiti komitmen sebanyak 5,100GW, berbanding 15 pusat data sedia ada dengan kapasiti 1,700GW.

 

"Perkembangan ini dijangka menyediakan aliran kerja berterusan bagi kerja-kerja sistem paip premis pengguna akhir.," katanya.

 

Dari sudut penilaian, ISF dibandingkan dengan beberapa syarikat pembinaan yang terlibat dalam projek pusat data serta pembangunan perindustrian dan kediaman, antaranya Gamuda, IJM Corp, Sunway Construction, Kerjaya Prospek dan Binastra Corp.

 

Bagaimanapun, RHB mengingatkan risiko utama kepada prestasi kumpulan termasuk kelewatan pengisian semula buku pesanan serta lebihan kos projek yang tidak dapat dipindahkan sepenuhnya kepada pelanggan, yang berpotensi menekan margin dan prestasi kewangan ISF pada masa hadapan. - DagangNews.com