Prospek Gas Malaysia pada FY25 diramal positif disokong momentum pertumbuhan ekonomi, peningkatan perbelanjaan domestik - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Gas Malaysia pada FY25 diramal positif disokong momentum pertumbuhan ekonomi, peningkatan perbelanjaan domestik - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - Prospek Gas Malaysia Bhd pada FY25 diramal positif disokong momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta peningkatan perbelanjaan domestik, pelaburan dan permintaan luar, kata MIDF Research.

 

Katanya, kumpulan itu kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan pasaran, sambil meningkatkan kecekapan, daya saing dan pengembangan perniagaan.

 

Walaupun terdapat risiko perubahan peraturan ke atas tarif dan subsidi, harga minyak yang tidak menentu dan gangguan akibat faktor penyelenggaraan dan geopolitik, firma penyelidikan itu berkata, permintaan domestik untuk gas terus berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 2.3%.

 

"Pertumbuhan ini didorong oleh sektor perindustrian, kimia dan tenaga, terutamanya di Malaysia Timur. Secara keseluruhannya, kami optimis untuk Gas Malaysia akan memenuhi tuntutan ini dalam jangka panjang," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, Gas Malaysia mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM441.39 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), meningkat daripada RM383.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Peningkatan keuntungan itu didorong jumlah jualan gas asli yang lebih tinggi, margin sumbangan gas asli purata yang meningkat serta fi tol yang lebih tinggi, namun keuntungan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, perolehan Gas Malaysia mencatat sedikit penurunan kepada RM8.04 bilion pada FY24 berbanding RM8.08 bilion pada tahun sebelumnya. 

 

Penyusutan itu disebabkan harga jualan purata gas asli yang lebih rendah, walaupun jumlah jualan gas asli serta bayaran tol meningkat.

 

Memandangkan pendapatan FY24 berada dalam jangkaan, MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan FY25.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran pendapatan FY26-FY27 sebanyak 1% selepas mengambil kira keputusan FY24.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM4.57 berbanding  RM4.09 sesaham," katanya. - DagangNews.com