Prospek ekonomi Malaysia 2026 positif, CGS International sasar KLCI mampu cecah 1,810 mata akhir tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek ekonomi Malaysia 2026 positif, CGS International sasar KLCI mampu cecah 1,810 mata akhir tahun ini

KUALA LUMPUR 7 Jan - Prospek ekonomi Malaysia kekal positif bagi tahun ini. Sehubungan itu, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd telah menetapkan sasaran Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pada paras 1,810 menjelang akhir 2026, disokong oleh pengukuhan ringgit serta kesan dasar yang menggalakkan.

 

Ketua pegawai eksekutifnya, Khairi Shahrin Arief Baki berkata, pengukuhan ringgit telah menambah baik margin kasar syarikat yang terdedah kepada kandungan import serta mengurangkan kos faedah bagi syarikat yang mempunyai pinjaman dalam mata wang asing, di samping meningkatkan sentimen pengguna.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Ketegangan perdagangan telah reda dan dengan tahap kepastian yang lebih tinggi, kesediaan untuk melabur juga meningkat, yang dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua sektor korporat dan pengguna.

 

“Pasukan penyelidikan kami mengunjurkan peningkatan pendapatan sebanyak 8.5 peratus bagi syarikat di bawah liputan kami serta sasaran KLCI pada paras 1,810 menjelang akhir 2026,” katanya semasa majlis pembukaan Hari Korporat Malaysia Tahunan ke-18 CGS International 2026 hari ini.

 

Mengulas lanjut, Khairi Shahrin berkata CGS International menjangkakan pendapatan syarikat tersenarai akan meningkat tahun ini berdasarkan prestasi positif semasa dalam pelbagai sektor.

 

Beliau berkata, 85 peratus syarikat di bawah liputan CGS International adalah berfokuskan pasaran domestik dan akan mendapat manfaat daripada ringgit yang lebih kukuh, yang mampu mengurangkan kos operasi serta menyokong prestasi perniagaan.

 

“Kami juga melihat bagaimana kerajaan bukan sahaja memperkenalkan dasar, tetapi turut berusaha menarik perniagaan masuk ke Malaysia, yang membantu merangsang ekonomi dan peluang pekerjaan,” tambahnya.

 

Sementara itu, Ketua Penyelidikan CGS International, Prem Jearajasingam menjangkakan ringgit akan terus mengukuh kepada paras 4.00 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, sebelum kembali susut ke sekitar 4.10 berikutan turun naik pasaran.

 

 

 

 

 

 

“Masih terdapat ketidaktentuan dalam pasaran mata wang – ringgit pernah mengukuh ke paras 4.03 dan kini berada sekitar 4.07 berbanding dolar AS.

 

“Sebahagian pergerakan jangka pendek sukar untuk diramal, jadi kami menggunakan purata dan bukannya cuba memilih satu kadar pada satu masa tertentu,” katanya. - BERNAMA