Prospek Capital A tidak terjejas disebabkan isu harga bahan api sektor penerbangan semakin mahal — HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Capital A tidak terjejas disebabkan isu harga bahan api sektor penerbangan semakin mahal — HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 April — Lonjakan mendadak harga bahan api global susulan konflik di rantau Timur Tengah yang mengganggu teruk bekalan minyak dunia kini menjadi cabaran utama sektor penerbangan.


Bagaimanapun menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), Capital A Berhad dilihat masih lagi berdaya tahan dan belum terjejas secara ketara dalam persekitaran kos yang semakin mencabar ketika ini.


Justeru, firma penyelidikan mengekalkan saranan ‘beli’ walaupun ia menurunkan harga sasaran (TP) kepada 93 sen daripada RM1.05, berikutan pelarasan jangkaan pendapatan dalam tempoh yang terdekat.


"Harga bahan api jet naik lebih ketara kepada AS$220 (kira-kira RM888) setong daripada hanya AS$90 (sekitar RM363) sebelum ini, didorong margin penapisan yang tinggi," katanya dalam nota analisis.


Peningkatan kos ini jelas HLIB, berpunca daripada isu gangguan pengeluaran di lapangan, kekangan penapisan dan sekatan eksport oleh beberapa negara bagi melindungi bekalan domestik masing-masing.


Struktur perniagaan baharu Capital A namun dilihat mampu mengurangkan impak itu, khususnya anak syarikat logistiknya, Teleport, yang memindahkan kos kepada pelanggan menerusi surcaj bahan api.


Firma berkenaan turut menyatakan permintaan bagi kargo udara dan e-dagang juga adalah kekal kukuh, menyokong prestasi segmen tersebut walaupun subsidiari itu berdepan dengan tekanan pelbagai kos.
 

Capital A Berhad_DagangNews



"Pertumbuhan jangka sederhana kumpulan juga disokong unit perniagaan bernilai tinggi seperti Asia Digital Engineering (ADE) dalam segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO)," kata HLIB.


Begitu juga platform ejen pelancongan dalam talian AirAsia Move yang semakin popular dalam kalangan pelanggan syarikat penerbangan tambah rendah itu, sekali gus menyokong pertumbuhan Capital A.


Dalam pada itu, ia menjangkakan potensi keluar daripada status bermasalah iaitu nota amalan 17 (PN17) menjelang separuh kedua 2026 akan menjadi pemangkin utama peningkatan keyakinan pelabur.


HLIB juga berpandangan penilaian premium saham kumpulan itu adalah wajar, disokong pertumbuhan pendapatan yang mampan serta pendedahan kepada prospek jangka panjang AirAsia X Berhad sendiri.


"Capital A kini memegang 19.5% kepentingan AirAsia X, bersamaan 655.2 juta saham, yang akan diagih secara berperingkat melalui dividen berbentuk saham, tertakluk keuntungan terkumpul," ujarnya.


Secara keseluruhan, ia melihat Capital A pada kedudukan baik untuk mengharungi tekanan kos semasa, sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan ekosistem penerbangan dan digital. - DagangNews.com