Projek usahasama loji kuasa solar hibrid ES Sunlogy di Sarawak bernilai RM488 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek usahasama loji kuasa solar hibrid ES Sunlogy di Sarawak bernilai RM488 juta

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 14 Ogos – ES Sunlogy Bhd menjelaskan anggaran kos keseluruhan projek usaha sama membangunkan loji kuasa solar hibrid di Baram, Sarawak adalah sebanyak RM488.18 juta.

 

Projek itu akan dibiayai melalui gabungan pinjaman bank dan dana dalaman dengan cadangan nisbah 80:20, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia susulan pertanyaan bursa mengenai projek berkenaan.

 

Pada Isnin, ES Sunlogy mengumumkan rancangan membangunkan loji kuasa solar hibrid berkapasiti 155 megawatt-peak (MWp), yang digabungkan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 310 megawatt-jam, menerusi konsortium 40:60 dengan Planet QEOS Sdn Bhd yang berpangkalan di Sarawak, selepas menandatangani perjanjian utama.

 

Dalam makluman di bursa, ES Sunlogy berkata pihaknya sedang berbincang dengan dua institusi perbankan bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan yang diperlukan.

 

Sekiranya berlaku kekurangan dana, atau jika ekuiti tambahan diperlukan selain daripada pinjaman bank, ES Sunlogy bercadang mengumpul dana melalui pembiayaan ekuiti, yang mungkin melibatkan terbitan saham baharu kepada pelabur berminat menerusi penempatan persendirian sehingga 30% daripada modal saham diperbesarkan.

 

Langkah ini tertakluk kepada keadaan pasaran semasa dan kelulusan daripada Bursa Securities, pemegang saham serta pihak berkuasa berkaitan.

 

“Kumpulan akan menilai struktur pembiayaan yang sesuai pada masa yang relevan bagi memastikan pengurusan modal yang optimum dan menyokong pelaksanaan projek tepat pada masanya,” kata ES Sunlogy.

 

Bagi tempoh projek, kumpulan itu berkata fasa pra-pembangunan dijangka tidak melebihi 18 bulan bermula Isnin (11 Ogos). Pembinaan akan bermula selepas fasa pra-pembangunan, dengan sasaran siap menjelang akhir 2027.

 

Projek ini adalah sebahagian daripada Fasa 1 Program Tenaga DeepTech Baram yang menyasarkan untuk membekalkan 500 MWac (megawatt arus ulang-alik) tenaga boleh diperbaharui berterusan kepada grid Sarawak menjelang 2027.

 

Harga saham ES Sunlogy susut satu sen atau 2.35% kepada 41.5 sen pada Rabu, dengan penilaian kumpulan kejuruteraan dan tenaga boleh diperbaharui itu mencecah RM287.12 juta. Sejak penyenaraian di Pasaran ACE pada Februari lalu, sahamnya telah meningkat 38.2% daripada harga tawaran awal 30 sen. - DagangNews.com