KUALA LUMPUR 30 Jan – Sentoria Group Berhad mengumumkan projek pembangunan hartanah di Morib, Selangor yang sebelum ini terbengkalai akan diambil alih oleh pemaju baharu, Hartanah Masteron Sinar Suria Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sentoria berkata langkah itu diambil susulan ketidakupayaan syarikat itu menyiapkan projek berkenaan.
“Pengambilalihan itu dimeterai menerusi satu perjanjian yang ditandatangani pada 29 Januari 2026 antara anak syarikat milik penuh kami, Sentoria Harta Sdn. Bhd dan pemaju baharu terbabit.
“Menerusi perjanjian tersebut, pemaju baharu akan mengambil alih sepenuhnya semua hak, kepentingan, tanggungjawab dan obligasi Sentoria berkaitan projek-projek berkenaan, termasuk meneruskan, mengurus serta menyiapkan pembangunan yang tertangguh,” katanya dalam makluman itu.
Projek yang terlibat dalam pengambilalihan itu melibatkan projek terbengkalai Plot M (Seroja), Plot N1 (Mawar) dan Plot N2 (RSKu Orkid), selain baki tanah pembangunan yang masih belum dimulakan.
Bagaimanapun, Plot L (RSKu Morib Anggun) dikecualikan daripada perjanjian ini kerana masih tertakluk kepada prosiding mahkamah dengan institusi perbankan.
Sebagai sebahagian daripada pengambilalihan, pemaju baharu turut bersetuju menyelesaikan hutang berjumlah RM5 juta yang terhutang oleh Sentoria Harta kepada dua pemiutang, iaitu Grinterra Sdn. Bhd dan Mydecor Sdn. Bhd.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM3 juta akan dibayar secara tunai mengikut syarat yang dipersetujui, manakala baki RM2 juta akan diselesaikan dalam bentuk penyerahan unit kediaman di projek RSKu Orkid kepada pemiutang terbabit.
Selain itu, pemaju baharu juga akan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM250,000 kepada Sentoria Harta sebagai sebahagian daripada nilai pengambilalihan keseluruhan berjumlah RM5.25 juta.
Bayaran pendahuluan itu adalah tidak boleh dikembalikan.
Selepas pengambilalihan berkuat kuasa, Sentoria dan anak syarikatnya tidak lagi terlibat dalam pembangunan dan pengurusan projek, manakala semua hasil jualan serta manfaat daripada projek tersebut akan menjadi milik pemaju baharu sepenuhnya.
Pemaju baharu diberi kebebasan untuk menyemak semula, meminda atau menstruktur semula pelan pembangunan projek terbengkalai bagi memastikan proses pemulihan dan penyempurnaan projek dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Lembaga pengarah Sentoria berkata perjanjian itu dijangka tidak memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan, modal saham, aset bersih serta prestasi pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, dan menegaskan langkah tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat serta pemegang saham. - DagangNews.com








