KUALA TERENGGANU 17 Nov – Projek Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu dibangunkan secara tiga fasa, kata Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Projek yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai 2025 itu adalah antara inisiatif utama di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu 2030 (PITiH 2030) dan menyokong aspirasi Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Mohd Nur Khuzaini berkata, proses penilaian terhadap bidaan kontrak sedang dijalankan bagi pelaksanaan Fasa 1 projek tersebut .
"Kerajaan negeri melalui agensi pelaksana sedang meneliti cadangan daripada syarikat-syarikat yang berpengalaman dalam pembangunan tenaga solar terapung berskala besar.
"Fasa pertama ini dijangka akan menjana kapasiti tenaga sebanyak 500 megawatt (MW), yang akan disambungkan ke grid nasional bagi menyokong keperluan tenaga negeri serta meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui.
"Pelaksanaan kontrak dijangka akan ditawarkan kepada kontraktor yang layak pada suku kedua tahun 2026 dan seterusnya memulakan fasa pembinaan serta pemasangan sistem solar terapung di beberapa zon strategik di Tasik Kenyir," katanya dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Projek Solar Terapung, Hab Hidrogen Hijau di Terengganu mampu tarik pelabur serantau, antarabangsa - PM Anwar
Projek Hab Hidrogen Hijau itu merupakan kerjasama strategik antara PETRONAS dan TNB, manakala HHFS pula merupakan kerjasama antara anak syarikat penjanaan kuasa TNB, TNB Genco Sdn Bhd dan anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc.
Projek perintis HHFS di Empangan Tasik Kenyir mempunyai kapasiti 100 kilowatt (kW) dan meliputi keluasan 1,085 meter persegi dengan 220 panel solar.
Ia membuktikan Tasik Kenyir seluas 36,900 hektar itu mempunyai potensi besar untuk pembangunan solar terapung, dengan sehingga 10 peratus daripada permukaannya boleh digunakan bagi menjana anggaran 2,200 MW tanpa menjejaskan ekologi tasik.
Mengulas lanjut, Mohd Nur Khuzaini berkata, projek tenaga boleh diperbaharui tersebut akan dibangunkan secara berperingkat melalui tiga fasa merangkumi integrasi tenaga solar dan hidro bagi mewujudkan sistem penjanaan yang lebih stabil, efisien dan mesra alam.
Bagi Fasa 2, beliau berkata, pembangunan Hab Hidrogen Hijau sedang melalui proses kajian komprehensif oleh PETRONAS, termasuk perancangan awal pembinaan kilang hidrogen hijau di kawasan berkenaan.
"Hab tersebut berpotensi menjadi pusat penghasilan hidrogen hijau berasaskan tenaga solar dan hidro untuk kegunaan domestik serta eksport, sekaligus menempatkan Terengganu sebagai peneraju rantaian nilai hidrogen hijau merangkumi penyelidikan, pengeluaran, penyimpanan dan pengedaran.
"Sementara itu, Fasa 3 pula berada dalam peringkat kajian dan perancangan bagi menambah kapasiti penjanaan tenaga solar sehingga 1,000 MW.
"Langkah ini dijangka mengukuhkan kedudukan Tasik Kenyir sebagai hab tenaga boleh diperbaharui terbesar di Pantai Timur, selain meningkatkan kestabilan tenaga melalui integrasi solar terapung dan infrastruktur hidro sedia ada," katanya.
Menurut Mohd Nurkhuzaini, penilaian fasa ketiga turut mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar, impak sosioekonomi setempat serta kebolehlaksanaan teknikal dan kewangan agar pembangunan tidak menjejaskan ekosistem Tasik Kenyir yang merupakan kawasan tadahan air penting negeri.
Projek mega tersebut dijangka menjana peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan, tenaga, dan penyelenggaraan teknologi hijau. - DagangNews.com








