KUALA LUMPUR 29 Jan – Projek ladang solar fotovoltaik dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di KLIA Aeropolis dijangka mengurangkan pelepasan karbon Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar 30% apabila beroperasi sepenuhnya pada 2027, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, sasaran itu akan menjadi sumbangan signifikan ke arah operasi lapangan terbang yang lebih bersih dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut memperkukuh pencapaian KLIA dalam perjalanan mendapatkan Tahap 5 Airport Carbon Accreditation oleh Airports Council International, selepas berjaya mencapai Tahap 3 sebelum ini.
“Projek ini bukan sekadar inisiatif tenaga boleh baharu (RE), tetapi langkah strategik untuk menyokong usaha penyahkarbonan serta meningkatkan daya tahan tenaga bagi infrastruktur pengangkutan kritikal negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek ladang solar dan BESS di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mohd Izani berkata, skala operasi KLIA yang besar memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan bagi memastikan kesinambungan operasi serta kualiti perkhidmatan.
“Pada 2025, KLIA mengendalikan 63.3 juta penumpang, mencerminkan operasi yang berskala besar dan kompleks. Keadaan ini menuntut keupayaan bekalan kuasa yang kukuh selaras dengan aspirasi MAHB untuk menjadikan Malaysia sebagai negara paling berhubung di Asia Tenggara menjelang 2030,” katanya.
Menurutnya, projek itu dibangunkan di kawasan ladang kelapa sawit sedia ada tanpa melibatkan penebangan hutan dan direka khusus bagi menyokong keperluan operasi lapangan terbang.
“Ia membolehkan peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu rendah karbon dilaksanakan secara praktikal, terancang dan sejajar dengan keperluan pertumbuhan jangka panjang KLIA sebagai hab penerbangan serantau,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif itu menyokong sasaran MAHB untuk mencapai 20% campuran tenaga boleh baharu menjelang 2030 serta karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Projek tersebut juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai 70% penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya.
Menurut Mohd Izani, projek berkenaan merupakan usaha bersama MAHB dan Cenergi SEA bagi memperkukuh operasi lapangan terbang agar lebih mampan dan berdaya tahan.
Selain infrastruktur tenaga, ladang solar di Aeropolis turut merangkumi pembangunan pusat kecemerlangan tenaga boleh baharu bagi menyokong pembelajaran, perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam bidang tenaga bersih.
“Inisiatif ini menyediakan platform pembangunan bakat serta pendedahan teknologi kepada pemain industri dan pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan projek ini adalah hasil kerjasama rapat sektor awam dan swasta, sekali gus menjadi asas penting dalam membentuk masa depan lapangan terbang yang lebih mampan, berdaya saing dan saling berhubung. - BERNAMA








