Projek pusat data berskala besar RM2.1 bilion Gamuda berkemungkinan untuk Google, kata TA Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pusat data berskala besar RM2.1 bilion Gamuda berkemungkinan untuk Google, kata TA Research

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Sept - Kontrak membina pusat data berskala besar RM2.1 bilion yang dimenangi Gamuda walaupun mendedahkan siapa pembeli, cakap-cakap pasaran kuat mengaitkan projek ini dengan Google, menurut TA Research.

 

Ini kerana Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd — yang secara meluas dilihat sebagai proksi serantau Google — telah menandatangani perjanjian bina dan pajak selama 20 tahun dengan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld).

 

"Ini sekali gus mencadangkan gergasi teknologi global itu bakal menjadi penyewa utama pusat data berskala besar di Selangor," kata TA Research dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma tersebut juga melihat potensi kapasiti yang besar. Dengan merujuk kepada DC1 di Elmina Business Park, yang menyediakan kira-kira 100MW di atas tanah seluas 49 ekar, firma penyelidikan itu menganggarkan tapak Eco Business Park V seluas 92.4 ekar berpotensi menyokong sehingga 200MW kapasiti pusat data berskala besar.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda raih kontrak RM2.14 bilion bina pusat data skala besar di Puncak Alam, Selangor

 

Gamuda Bhd baru-baru ini memperoleh kontrak bernilai RM2.1 bilion daripada Quantum Alpha Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh EcoWorld, untuk membangunkan pusat data berskala besar tersebut di Eco Business Park V.

 

Skop kerja meliputi pembinaan, penyiapan, ujian dan pentauliahan dua blok pusat data (shell dan core), bersama pencawang pengguna, takungan air dan kemudahan berkaitan. Kerja dijadual bermula hujung September 2025 dan disasarkan siap pada suku ketiga 2027.

 

Walaupun anugerah ini tidak termasuk pakej mekanikal dan elektrikal (M&E) — amalan biasa industri memandangkan kerja tersebut mengikuti kemajuan shell dan core — TA Research percaya Gamuda kekal sebagai calon utama bagi fasa M&E seterusnya, dianggarkan bernilai RM2.5–3.0 bilion, dengan pemuktamadan kontrak dijangka pada suku pertama 2026.

 

 

Gamuda

 

 

Kontrak ini turut meningkatkan buku pesanan belum selesai Gamuda kepada RM39.8 bilion, bersamaan 3.8 kali hasil pembinaan FY24, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan.

 

Berdasarkan panduan pengurusan mengenai margin untung sebelum cukai 8%, TA Research menganggarkan projek ini berpotensi menyumbang kira-kira RM130 juta keuntungan bersih terkumpul sepanjang tempoh pembinaan.

 

“Kami mengekalkan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (SOP) pada RM6.43, termasuk premium ESG sebanyak 3% yang disokong oleh penarafan ESG 4-bintang kami. Kekal cadangan Belian ke atas saham ini,” kata TA Research. - DagangNews.com