KUALA LUMPUR 29 Ogos – Gamuda Bhd menerusi anak syarikat milik penuh, Gamuda Engineering Sdn Bhd (GESB), berjaya meraih kontrak bernilai RM2.14 billion daripada Quantum Alpha Sdn Bhd, iaitu unit di bawah Eco World Development Group Bhd, bagi pembinaan pusat data hiperskala di Eco Business Park V, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata projek berkenaan merangkumi kerja-kerja pembinaan, penyiapan, ujian serta pentauliahan bagi struktur shell and core dua blok pusat data, sebuah pencawang pengguna serta takungan air termasuk infrastruktur berkaitan dan kemudahan sokongan lain.
Projek tersebut dijadualkan bermula pada suku ketiga 2025 (3Q25) dan dijangka siap pada suku ketiga 2027 (3Q27).
Gamuda menjangkakan projek ini akan menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 dan seterusnya sehingga siap sepenuhnya.
Antara projek pusat data diraih oleh Gamuda Engineering termasuk yang sedang dalam proses pembinaan ialah pusat data skala besar Elmina milik Sime Darby.
GESB memegang dua kontrak penting – pertama bagi pembinaan struktur utama (shell & core) berharga RM815 juta; kedua, kerja MEP fit-out berharga RM928.6 juta untuk pusat data di Elmina Business Park 1A.
GESB juga terlibat dalam projek di luar negara termasuk Sydney Metro West – Western Tunnelling Package selain projek MRT di Taiwan seperti Kaohsiung MRT Metropolitan Yellow Line Package YC01.
Selain itu GESB juga terbabit dalam projek utiliti seperti pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas (Sabah) sebagai kontraktor pembangunan sepenuhnya.
Projek pembinaan empangan hidroelektrik berkapasiti 187.5 MW di Ulu Padas, Tenom, Sabah, dengan nilai kontrak RM3.05 bilion dijangka mula beroperasi secara komersial menjelang atau sebelum Disember 2030. - DagangNews.com








