Projek pusat data 110MW diramal sumbang 22% keuntungan YTL Power bagi FY26, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pusat data 110MW diramal sumbang 22% keuntungan YTL Power bagi FY26, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Feb — Operasi projek pusat data (DC) berkapasiti 110MW diramal menyumbang sehingga 22% daripada keuntungan sebelum cukai (PBT) YTL Power International Berhad bagi FY26.


Berdasarkan potensi itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu RM4.90 daripada RM4.77, menawarkan potensi kenaikan kira-kira 53% serta dividen FY26 sekitar 3%.


Firma penyelidikan itu juga menekankan yang projek loji gas baharu 1,400MW dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama, dengan kadar pulangan dalaman (IRR) dianggarkan mampu mencecah sebanyak 12%.


"Perkembangan positif tersebut, turut diyakini berupaya menambah kira-kira 26 sen atau peningkatan sebanyak 5% kepada TP YTL Power sendiri," jelas firma berkenaan dalam nota analisisnya hari ini.


Subsidiarinya, Power Seraya dijangka mengekalkan margin untung 17% bagi FY26 hingga FY28, susulan kos bahan api stabil dan 85% volum dijamin melalui kontrak jangka panjang dengan pelanggan runcit.


Wessex Water pula diunjur memberi peningkatan pendapatan tambahan sekitar 2% daripada cadangan kenaikan tarif 5% oleh pengawal selia di Britain, selepas kenaikan 20% diwartakan pada tahun lalu.


Situasi tersebut kata RHB Research, mampu memulihkan kembali prestasi bahagian air syarikat itu, namun keputusan muktamad mengenai tarif baharu berkenaan dijangka diumumkan pada 17 Mac 2026.


"Selepas pelarasan bagi kos mata wang lebih kuat dan margin kuasa yang rendah, kami menyemak balik pendapatan sesaham (EPS) bagi FY26 turun 9%, manakala FY27 pula kemungkinan dinaikkan," katanya.


Perubahan itu sejajar dengan kemajuan projek DC dan sumbangan Wessex Water, dengan TP dianggap adil berikutan sumbangan meningkat daripada segmen DC serta pendapatan air dan tenaga yang stabil.


Bagaimanapun RHB Research memberi amaran risiko penurunan termasuk sekiranya berlaku tarif runcit Power Seraya lebih rendah, kos bahan api yang meningkat, dan penangguhan operasi DC selepas siap.


YTL Power namun disenaraikan sebagai pilihan utama sektor tenaga oleh firma itu, dengan keputusan kewangan 2QFY26 dijangka mencatat pertumbuhan EPS suku ke suku 22%. - DagangNews.com