KUALA LUMPUR 28 Julai – Mah Sing Group Berhad mencatat perkembangan positif bagi projek kediaman M Zenya di Kepong apabila struktur binaan tertinggi bangunannya sudah siap (topping out) dan projek itu dijangka dapat disempurnakan 13 bulan lebih awal daripada jadual.
Projek kediaman keempat Mah Sing di Kepong itu kini telah terjual sepenuhnya selepas merekodkan kadar pembelian sebanyak 92% sebaik galeri jualan dibuka.
Pencapaian itu menunjukkan keupayaan Mah Sing melaksanakan pembangunan kediaman dalam tempoh lebih singkat apabila projek berkenaan dilancarkan hanya sembilan bulan selepas syarikat memperoleh tanah tersebut.
Selain kemajuan pembinaan, M Zenya turut mencapai 1.5 juta jam kerja selamat tanpa kemalangan (Lost Time Injury - LTI) yang mencerminkan keutamaan syarikat terhadap aspek keselamatan pekerja serta amalan pembinaan yang bertanggungjawab.
Projek itu turut menerima Pensijilan GreenRE Bronze Sementara hasil penerapan elemen pembangunan mesra alam seperti penggunaan tenaga solar bagi kemudahan bersama, sistem kutipan air hujan, lampu LED cekap tenaga, lif regeneratif serta penggunaan cat dan pelekat rendah bahan organik meruap (VOC).
M Zenya Terima Sambutan Positif Pembeli
Pengasas Dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pencapaian M Zenya membuktikan kepercayaan pembeli terhadap jenama Mah Sing serta keupayaan syarikat menyediakan kediaman yang memenuhi keperluan pasaran.
Beliau berkata, kejayaan projek itu memberi keyakinan kepada syarikat untuk meneruskan strategi pertumbuhan menerusi pemerolehan tanah strategik dan pelancaran projek baharu di Lembah Klang, Pulau Pinang serta Johor.
“Melangkah ke hadapan, kami terus memberi tumpuan kepada pembangunan berkualiti, pembentukan komuniti mampan serta penciptaan nilai jangka panjang untuk pemilik rumah dan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara projek baharu yang bakal dilancarkan Mah Sing termasuk M Mira di Setapak, M Hana di Puchong, M Cora di Pulau Pinang serta M Tiara 2 dan MS Industrial Park @ Kulai di Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Subsidiari Hartanah Mah Sing, Datuk Yeoh Chee Beng berkata, sambutan terhadap M Zenya menunjukkan permintaan terhadap kediaman yang mempunyai reka bentuk praktikal, lokasi strategik dan kemudahan lengkap.

M Zenya Tawar Kediaman Dengan Ciri Lestari
Beliau berkata, M Zenya menawarkan lebih daripada sekadar tempat tinggal menerusi gabungan susun atur kediaman praktikal, kemudahan gaya hidup, ciri kelestarian serta lokasi berhampiran Tasik Metropolitan Kepong.
Terletak bersebelahan Keponggi Square, pembangunan itu memberikan kemudahan akses kepada penduduk untuk mendapatkan pelbagai kemudahan seperti restoran, pusat beli-belah, perkhidmatan kesihatan, rekreasi dan hiburan.
Sementara itu, Mah Sing turut memperkenalkan M Azura di Setapak sebagai sebahagian daripada pengembangan siri kediaman M di Lembah Klang.
M Azura merupakan pembangunan kediaman keempat Mah Sing di Setapak selepas StarParc Point, M Adora dan M Astra. Projek itu dibangunkan di atas tanah seluas empat ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM508 juta.
M Azura Sasarkan Pembeli Rumah Bandar
M Azura terdiri daripada dua blok kediaman servis yang menawarkan unit dua, tiga dan empat bilik tidur dengan keluasan binaan antara 700 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi.
M Azura berada kira-kira lapan kilometer dari KLCC serta mempunyai hubungan mudah ke laluan utama seperti Jalan Genting Klang, Lebuhraya MRR2, Lebuhraya DUKE dan Jalan Tun Razak.
Kedudukannya yang berhampiran stesen LRT, institusi pendidikan, pusat beli-belah, kemudahan kesihatan dan kawasan rekreasi menawarkan kemudahan kepada penduduk untuk menjalani kehidupan bandar.
Kempen Pemilikan Rumah Mah Sing
Mah Sing turut memperkenalkan Kempen Mah Sing 1-2-3 bagi membantu pembeli memiliki kediaman menerusi pelbagai manfaat tambahan.
Kempen yang berlangsung dari 18 Mei 2026 hingga 31 Oktober 2026 itu terbuka kepada pembeli 12 projek terpilih Mah Sing di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Menerusi kempen tersebut, pembeli layak menerima tiga manfaat iaitu insentif pemilikan rumah selama setahun, sehingga dua tahun yuran penyelenggaraan percuma serta ganjaran syiling emas bernilai RM3,000 bagi unit tertentu tertakluk kepada terma dan syarat. - DagangNews.com








