KUALA LUMPUR 13 Mei – TA Securities menjadi lebih positif terhadap Ibraco Bhd selepas lawatan terkini ke projek-projek utama kumpulan itu di Kuching yang menunjukkan perkembangan operasi yang lebih kukuh daripada jangkaan pasaran.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham tersebut, dengan menaikkan harga sasaran kepada RM1.52 daripada RM1.32 sebelum ini yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 32 peratus berbanding harga semasa RM1.15.
Menurut TA Securities, pasaran masih cenderung melihat Ibraco sebagai pemaju hartanah berskala kecil di Kuching, namun persepsi ini dianggap tidak lagi mencerminkan realiti perniagaan syarikat yang semakin berubah, khususnya dengan peningkatan ketara sumbangan segmen pembinaan kepada pendapatan kumpulan.
“Pada tahun kewangan 2025 (FY25), segmen pembinaan menyumbang sekitar 54.6 peratus daripada jumlah hasil, mengatasi segmen pembangunan hartanah yang mencatat 39.1 peratus.
“Perubahan ini didorong oleh projek infrastruktur utama seperti Laluan Transit Automatik ART dan Jalan Lingkaran Kedua di Sarawak,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
TA Securities berkata perubahan struktur pendapatan ini menunjukkan Ibraco kini semakin berkembang menjadi pemain hibrid yang menggabungkan pembangunan hartanah dan pembinaan infrastruktur.
Keadaan ini turut mengurangkan kebergantungan syarikat terhadap jualan hartanah semata-mata.
Dari sudut penilaian, firma itu berpendapat saham Ibraco masih diniagakan pada tahap yang menarik.
“Berdasarkan unjuran baharu, kaunter ini didagangkan pada paras 11 kali, 10 kali dan 9 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi FY26 hingga FY28, dengan hasil dividen sekitar 4 peratus.
“Walaupun Ibraco bukan kontraktor infrastruktur tulen, kami percaya jurang penilaian berbanding syarikat berkaitan infrastruktur di Sarawak masih boleh mengecil sekiranya syarikat berjaya memperoleh lebih banyak kontrak baharu dan mengekalkan momentum dalam segmen pembinaan,” katanya.

Tumpuan utama pelabur juga kekal kepada projek NorthBank, iaitu pembangunan bandar utama Ibraco di Kuching. Projek seluas 123 ekar itu mempunyai jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM2.2 bilion, dengan kira-kira 60 peratus telah dilancarkan.
Ketika ini, NorthBank menjadi salah sebuah perbandaran premium setelah mencapai kadar ambilan sekitar 90 peratus, disokong oleh pembangunan komponen perumahan, komersial, pejabat, serta kemudahan seperti sekolah antarabangsa.
TA Securities berkata harga hartanah di NorthBank menunjukkan peningkatan konsisten di mana unit rumah teres yang dilancarkan pada harga sekitar RM770,000 pada 2018 kini mencecah anggaran RM1.2 juta, mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap kawasan tersebut.
“Selain NorthBank, Ibraco turut mempunyai projek Arden City di Kota Samarahan dengan nilai pembangunan kasar sekitar RM1.4 bilion. Walaupun kadar jualan projek ini lebih perlahan berbanding NorthBank, prospek jangka panjangnya disokong oleh pembangunan kawasan Samarahan sebagai hab pendidikan dan perubatan.
“Salah satu pemacu penting ialah sistem pengangkutan ART Blue Line yang menghubungkan Samarahan ke Kuching. Laluan ini dijangka meningkatkan akses kepada projek-projek Ibraco yang akan memberi kesan positif kepada nilai hartanah di kawasan itu,” katanya.
Dari sudut pembinaan, Ibraco kini mempunyai buku tempahan sekitar RM734.9 juta yang disokong oleh dua projek utama iaitu ART Blue Line dan Jalan Lingkaran Kedua. Kedua-dua projek ini dijangka menjadi penyumbang utama pendapatan jangka pendek hingga sederhana.
TA Securities juga melihat Sarawak sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor pembinaan, didorong oleh peruntukan pembangunan negeri yang tinggi serta pelan pembangunan jangka panjang Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Syarikat itu juga mempunyai beberapa kemudahan sendiri seperti kuari, kilang paip MSCL serta pengeluaran bahan seperti premix dan konkrit. Walaupun perniagaan ini bukan penyumbang utama keuntungan, ia membantu mengurangkan kos dan memudahkan pelaksanaan projek pembinaan kerana tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pembekal luar.
Kilang paip MSCL yang mula beroperasi sejak 2024 kini berada pada tahap penggunaan sekitar 60 peratus yang dijangka menjana hasil antara RM25 juta hingga RM30 juta pada FY26 sebelum berkembang pada tahun-tahun seterusnya seiring peningkatan permintaan infrastruktur air di Sarawak.
Secara keseluruhan, TA Securities menaikkan unjuran pendapatan Ibraco bagi FY26 hingga FY28 sebanyak 4 peratus hingga 26 peratus, mencerminkan pandangan lebih positif terhadap pertumbuhan hartanah, pembinaan dan segmen pembuatan.- DagangNews.com








