Projek hotel, platform Mana-Mana antara pemacu lonjakan pendapatan Exsim Hospitality - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek hotel, platform Mana-Mana antara pemacu lonjakan pendapatan Exsim Hospitality - TA Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb – Exsim Hospitality Berhad dijangka mencatat lonjakan pendapatan yang ketara selepas melaksanakan strategi memiliki dan mengendalikan hotel sendiri serta mengembangkan platform pengurusan penginapan Mana Mana, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan cadangan Beli terhadap Exsim Hospitality dengan sasaran harga RM0.40 berbanding RM0.26 ketika ini yang menawarkan potensi kenaikan 51.5 peratus.

 

Pelaksanaan penerbitan saham tambahan pada 23 Disember 2025 membolehkan Exsim mengumpul dana kasar RM250.2 juta.

 

TA Securities berkata sebanyak 45 peratus dana diperuntukkan untuk pengubahsuaian Corus Hotel, manakala 34 peratus digunakan bagi pengambilalihan Tower E Hotel di Empire City Damansara. 

 

“Baki dana diperuntukkan untuk modal kerja dan perbelanjaan berkaitan. Pengurusan syarikat menjangkakan kedua-dua hotel beroperasi sepenuhnya menjelang suku ketiga 2026, dengan sumbangan keuntungan dijangka bermula FY27.

 

“Setelah pengubahsuaian, Corus Hotel mensasarkan kadar penghunian sekurang-kurangnya 70 peratus dengan purata kadar bilik RM350, berbanding RM150 sebelum pengubahsuaian.

 

“Selain itu platform Mana Mana kini menguruskan 1,582 unit dengan 520 unit sudah menyumbang kepada pendapatan.

 

"Syarikat merancang menambah 2,426 unit pada suku ketiga FY26, menjadikan jumlah unit di bawah pengurusan sebanyak 4,008 unit. Dalam tempoh lima tahun, jumlah unit berpotensi melebihi 10,000, yang boleh menjana kira-kira RM21.9 juta setahun berdasarkan purata kadar sewa RM120/unit dan margin keuntungan 5 peratus.,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

Aktiviti promosi berkaitan Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka meningkatkan tempahan daripada pelancong berkumpulan dan korporat, memperluas pasaran Mana Mana dan menyokong pertumbuhan pendapatan Exsim.

 

Selain itu, segmen kemasan dalaman kekal menjadi pemacu utama keuntungan jangka pendek, dengan baki kontrak bernilai RM200.1 juta, memberikan liputan 1.4 kali daripada hasil segmen pembinaan FY25.

 

Firma itu berkata sejak awal FY26, Exsim telah menandatangani kontrak bernilai RM48.8 juta, termasuk projek Maybank di Merdeka 118 dan beberapa projek milik kumpulan EXSIM. 

 

Syarikat menjangka margin bersih segmen ini kekal antara 15 hingga 20 peratus berikutan tempoh projek yang singkat dan hubungan kukuh dengan kumpulan EXSIM.

 

Mengikut unjuran TA Research, dengan kadar penghunian 50–60 peratus dan kadar bilik RM460–470 untuk Tower E Hotel serta RM350 untuk Corus Hotel pada FY27–28, segmen hotel dijangka menyumbang RM4.3–5.3 juta dalam keuntungan bersih. “Summit USJ Hotel yang dijangka dibuka semula pada 4Q26 pula boleh menyumbang RM1.8–2 juta.

 

"Secara keseluruhan, unjuran keuntungan bersih FY26–28 dinaikkan sebanyak 24.1 peratus, 20 peratus dan 2.6 peratus pada tempoh tersebut,” katanya. - DagangNews.com