KUALA LUMPUR 31 Okt – Kerja struktur, termasuk terowong untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 9, yang merangkumi 55 kilometer (km) dari Serendah di Hulu Selangor ke Jalan Kastam di Klang, telah mencapai 65% kemajuan pembinaannya.
Jurutera utama China Communications Construction Company (CCCC) bagi projek ECRL Seksyen 9, Zhu Zhengwei berkata, pencapaian ini hasil daripada kejayaan mereka menyiapkan empat terowong utama dalam seksyen tersebut lebih awal daripada jadual.
Empat terowong tersebut ialah Terowong Sungai Buaya 1 sepanjang 403 meter (m), Terowong Sungai Buaya 2 sepanjang 469 m, Terowong Rawang-Bestari Jaya sepanjang 208 m, dan Terowong Puncak Alam sepanjang 657 m.
“Kerja penggalian untuk Terowong Rawang-Bestari Jaya adalah antara yang paling mencabar kerana kami terpaksa menggunakan kaedah penggalian bukit dan bukannya kaedah letupan atau mesin pengorek terowong (TBM).
“Kami perlu mengelakkan sebarang gegaran semasa kerja pembinaan kerana terdapat saluran utiliti penting, termasuk paip air dan gas, di permukaan jalan,” katanya kepada Bernama selepas lawatan teknikal terowong yang dianjurkan oleh Construction Industry Development Board (CIDB) di Rawang hari ini.
Zhu berkata, Terowong Rawang-Bestari Jaya disiapkan menggunakan kaedah khusus dengan teknik penggalian terowong yang membahagikan terowong kepada tiga tingkat yang digali mengikut tujuh langkah tertentu bagi memastikan kestabilan.
“Keseluruhan kaedah ini membolehkan penggalian dijalankan dengan selamat tanpa menjejaskan infrastruktur di atasnya seperti jalan atau paip utiliti membolehkan laluan ECRL dibina tanpa perlu melintasi Jalan Rawang-Bestari Jaya,” katanya.
Beliau menjelaskan tiga stesen akan dibina di Seksyen 9 iaitu di Puncak Alam (Kuala Selangor), Kapar (Klang), dan Jalan Kastam (Klang).
Projek ECRL di Selangor melibatkan tiga seksyen pembinaan, iaitu Seksyen 7 merangkumi bahagian Terowong Genting; Seksyen 8 melibatkan laluan dari Gombak ke Serendah; dan Seksyen 9 melibatkan laluan melalui Bandar Baru Sungai Buaya, Saujana Rawang, Batu Arang termasuk Hutan Simpan Batu Arang, Puncak Alam, Kapar dan Port Klang.
Pembinaan ini melintasi beberapa infrastruktur utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Jalan Kuala Selangor, Lebuhraya LATAR dan Jalan Kapar, serta menyeberangi Sungai Puloh dan Sungai Kajang, dan akan berakhir di Jalan Kastam untuk perkhidmatan penumpang, sebelum bersambung ke Westport dan Northport di Port Klang untuk perkhidmatan kargo.
Pembinaan Fasa 1 ECRL dari Kota Bharu ke Gombak Integrated Terminal di Selangor dijadualkan siap pada Disember 2026, dengan operasi bermula Januari 2027.
Fasa 2, dari Gombak ke Port Klang, dijangka siap pada Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya menjelang Januari 2028. - BERNAMA








