KUALA LUMPUR 24 Okt – Pembinaan pusat konvensyen, Borneo Convention Centre Kuching II (BCCK II) kini mencapai tahap siap 3.27 peratus setakat minggu lalu, menandakan kemajuan yang lebih awal daripada jadual asal bagi projek bernilai RM550 juta itu.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu hantaran di Facebook berkata, pembangunan mercu tanda baharu ini mencerminkan kemajuan besar dalam infrastruktur negeri dan keupayaan Sarawak untuk menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa.
Projek pembinaan BCCK II bermula pada April tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2027.
Apabila siap kelak, pusat konvensyen baharu itu akan menampilkan dewan utama berkapasiti 9,500 orang, hampir dua kali ganda lebih besar berbanding BCCK sedia ada.
Selain itu, kemudahan baharu tersebut turut merangkumi tempat letak kereta bertingkat lebih 1,000 petak, 20 bilik mesyuarat tambahan, serta kemudahan tepi sungai bagi menyokong pelbagai jenis acara dan persidangan.
Satu jambatan pejalan kaki berbumbung juga akan menghubungkan kompleks baharu itu dengan BCCK sedia ada, sekali gus mewujudkan zon konvensyen bersepadu di kawasan sambungan Kuching Waterfront.
Apabila siap kelak, BCCK II dijangka mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama untuk persidangan dan pameran antarabangsa, selain menjadi salah satu venue utama bagi International Water Association (IWA) World Water Congress and Exhibition 2028 yang bakal menarik lebih 10,000 delegasi dari seluruh dunia.
JKR Sarawak memberitahu pembinaan projek ini turut menggunakan teknologi pembinaan moden seperti Building Information Modelling (BIM), sejajar dengan agenda pendigitalan negeri bagi meningkatkan ketepatan reka bentuk, penyelarasan dan kecekapan pemantauan.
Pasukan penyeliaan jabatan berkenaan juga terus memastikan kualiti, keselamatan dan kemajuan kerja berada pada tahap optimum.

Timbalan Premier Sarawak, merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, melakukan lawatan ke tapak pembinaan di daerah Muara Tebas hari ini bagi meninjau kemajuan projek berkenaan.
Dalam lawatan tersebut, beliau diberi taklimat terperinci mengenai perkembangan terkini pelaksanaan projek dan menzahirkan keyakinan projek BCCK II akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan MICE (Meetings, Incentives, Conferences, and Exhibitions) di Sarawak. - DagangNews.com








