Projek air Perak Utara RM5 bilion pemacu pertumbuhan baharu Gamuda - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek air Perak Utara RM5 bilion pemacu pertumbuhan baharu Gamuda - Penganalisis

LRA Kompak Sungai Kerian, Seberang Perai Selatan - Gambar PBAPP
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Penganalisis optimis Projek Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) akan menjadi pemacu pertumbuhan baharu Gamuda Bhd menerusi potensi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai kira-kira RM5 bilion, selain menjana pendapatan berulang daripada perjanjian pembekalan air selama 40 tahun.

 

Perjanjian pembekalan air terawat antara Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) menerusi NPWSS bukan sekadar menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang, malah dilihat mampu menjadi pemacu pertumbuhan baharu kepada Gamuda Bhd untuk tempoh jangka masa panjang.

 

Pandangan itu dikongsi dua firma penyelidikan, RHB Research dan MBSB Research yang percaya projek berkenaan bakal mengukuhkan prospek jangka panjang Gamuda menerusi gabungan pendapatan berulang daripada pembekalan air serta peluang memperoleh kontrak pembinaan infrastruktur berskala besar.

 

Kedua-dua firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham Gamuda dengan RHB Research menetapkan harga sasaran kepada RM6.11 manakala MBSB Research mengekalkan harga sasaran RM5.60 sesaham berikutan prospek positif projek tersebut.

 

Malah, kedua-duanya firma itu turut melihat projek tersebut sebagai platform yang mampu menggabungkan pendapatan daripada aktiviti pembinaan, operasi, penyelenggaraan dan pembekalan air, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan yang lebih mampan kepada kumpulan dalam jangka panjang.

 

RHB Research: Nilai Ekonomi Projek Semakin Jelas

RHB Research berkata, termeterainya perjanjian pembekalan air pukal selama 40 tahun mengurangkan ketidaktentuan projek NPWSS, selain memberikan gambaran lebih jelas mengenai potensi pulangan yang bakal dijana oleh Gamuda menerusi pegangan 50% dalam KAP.

 

Menurut firma itu, PBAPP akan membayar caj kapasiti sekitar RM210 juta setahun bagi memastikan kemudahan rawatan dan sistem penghantaran air sentiasa tersedia, dengan bahagian yang bakal diterima Gamuda dianggarkan kira-kira RM105 juta setahun.

 

“Selain itu, pembekalan air akan dikenakan caj bermula RM1.70 bagi setiap meter padu, disertai mekanisme kenaikan tarif sebanyak 11.75% setiap tiga tahun serta pelarasan kos operasi tertentu. Struktur tersebut diyakini mampu memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh sepanjang tempoh konsesi.

 

“Kami berpandangan nilai sebenar projek tidak hanya terletak pada konsesi pembekalan air, malah peluang Gamuda memperoleh kontrak EPCC bernilai kira-kira RM5 bilion untuk membangunkan keseluruhan infrastruktur NPWSS,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Berdasarkan unjurannya, projek tersebut berpotensi menyumbang sekitar RM250 juta keuntungan operasi kepada Gamuda bermula tahun kalendar 2032. 

 

t

 

MBSB Research: Kontrak EPCC Jadi Tumpuan Seterusnya

Sementara itu, MBSB Research menyifatkan perjanjian pembekalan air berkenaan sebagai satu perkembangan penting kerana ia mengesahkan konsesi pembekalan air selama 40 tahun yang akan menjadi sumber pendapatan berulang kepada Gamuda sebaik operasi bermula pada 2032.

 

Bagaimanapun, firma itu berpandangan pemangkin terbesar yang dinantikan pasaran ketika ini ialah penganugerahan kontrak EPCC projek NPWSS yang dianggarkan bernilai RM5 bilion. MBSB menjangkakan kontrak berkenaan berpotensi dianugerahkan pada separuh kedua tahun kalendar 2026.

 

Menurut MBSB, sekiranya kontrak tersebut dimenangi Gamuda, ia akan meningkatkan lagi buku tempahan kumpulan yang kini mencecah RM52.3 bilion, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan syarikat bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

Walaupun firma itu menyemak turun unjuran pendapatan tahun kewangan 2027 sebanyak 7% berikutan jangkaan kemajuan projek yang lebih perlahan pada peringkat awal, asas perniagaan Gamuda disifatkan masih kukuh disokong buku tempahan yang tinggi, pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar dan pelancaran projek hartanah baharu bernilai RM10 bilion pada tahun kewangan 2027. 

 

Prospek Kekal Cerah

Secara keseluruhannya, kedua-dua firma penyelidikan melihat NPWSS sebagai lebih daripada sekadar projek pembekalan air rentas negeri.

 

Bagi mereka, projek itu berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan baharu Gamuda yang bukan sahaja menjana pendapatan berulang dalam tempoh 40 tahun, malah membuka peluang memperoleh kontrak pembinaan bernilai berbilion ringgit.

 

Gabungan faktor tersebut dijangka terus memperkukuh prestasi kewangan dan prospek pertumbuhan kumpulan dalam jangka panjang. - DagangNews.com