KUALA LUMPUR 13 Mei - TIME dotCom Berhad dijangka terus mencatat prestasi stabil dalam segmen jalur lebar runcit menerusi ketahanan purata hasil setiap pengguna (ARPU) dan pertambahan pelanggan bersih dalam tempoh terdekat, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi itu juga disokong oleh penetapan harga yang lebih rasional dalam industri telekomunikasi, selain peralihan beransur-ansur ke arah pelanggan unit kediaman tunggal (SDU) yang lebih stabil dan mempunyai kadar pengekalan lebih tinggi.
Selain itu TIME dotCom kekal menyokong pengembangan AIMS Data Centre termasuk pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) bernilai AS$1 bilion di Cyberjaya yang diunjur mampu meningkatkan pendapatan kumpulan sehingga 23% menjelang FY29F.
"TIME dotCom juga komited mengoptimumkan struktur kunci kira-kiranya yang dijangka membolehkan kumpulan menawarkan hasil dividen sekitar 4.9% hingga 5.3% bagi FY26F hingga FY29F di bawah andaian konservatif.
"Bagaimanapun, berdasarkan jangkaan aliran tunai operasi yang lebih kukuh, kami menjangkakan hasil dividen syarikat berpotensi mencecah antara 7.0% hingga 7.5% dalam tempoh sama," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan unjuran pendapatan, harga sasaran RM6.60 sesaham serta saranan “OUTPERFORM” terhadap TIME dotCom yang terus menjadi pilihan utama sektor telekomunikasi.
Mengulas lanjut pelaburan dalam AIMS, Kenanga Research berkata, bagi FY26, TIME dotCom dijangka meningkatkan sumbangan modal kepada AIMS berbanding RM53 juta pada FY25, sejajar dengan fasa pertumbuhan baharu syarikat tersebut.
AIMS merancang membangunkan pusat data AI di atas tapak seluas 10 ekar di Cyberjaya menjelang 2027 dengan kapasiti sehingga 200MW.
Bagaimanapun, pembangunan itu akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan komitmen pengambilan kapasiti sebenar daripada pelanggan.
Berdasarkan anggaran semasa, pusat data AI baharu itu berpotensi menyumbang kira-kira RM134 juta kepada pendapatan AIMS menjelang FY29F, sekali gus meningkatkan pendapatan TIME dotCom sebanyak 23%.
Unjuran itu dibuat berdasarkan beberapa andaian utama termasuk kadar penggunaan 90%, peningkatan kapasiti daripada 100MW pada 4Q27 kepada 200MW menjelang 3QFY28F serta kadar sewaan kolokasi pada diskaun 35% berbanding kadar purata Singapura pada 2025.
Selain itu, projek tersebut dianggarkan memerlukan perbelanjaan modal sekitar AS$735 juta bagi setiap 100MW kapasiti dengan 80% pembiayaan hutang serta insentif cukai keutamaan daripada Malaysian Investment Development Authority (MIDA).
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan unjuran pendapatan dan harga sasaran TIME dotCom pada RM6.60 sesaham berdasarkan gandaan EV/EBITDA FY26F sebanyak 14.4 kali.
Premium penilaian itu disokong oleh peningkatan kecekapan modal hasil pengoptimuman kira-kira serta prospek pertumbuhan jangka sederhana yang lebih kukuh menerusi pengembangan agresif AIMS.
Dari sudut pelaburan, TIME dotCom terus menjadi pilihan sektor telekomunikasi berikutan keupayaannya memanfaatkan permintaan perusahaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan jalur lebar di pusat data berskala besar.
Selain itu, syarikat turut mendapat manfaat daripada pengembangan serantau AIMS, potensi pembayaran dividen lebih tinggi serta ketahanan ARPU runcit dan pertumbuhan pelanggan yang konsisten.
Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan “OUTPERFORM” terhadap TIME dotCom.
Bagaimanapun, antara risiko utama termasuk kemungkinan pengembangan ASEAN AIMS bergerak lebih perlahan daripada jangkaan dan tekanan ARPU akibat persaingan sengit dalam segmen jalur lebar runcit.
Selain itu kelemahan berterusan kadar transit IP global susulan lebihan kapasiti dan perubahan corak trafik kepada berskala besar yang memiliki kabel dasar laut sendiri juga boleh mendatangkan risiko kepada TIME dotCom. - DagangNews.com








