Program Solar ATAP diperkenalkan 1 Jan 2026 bagi mempercepatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui di bumbung bangunan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program Solar ATAP diperkenalkan 1 Jan 2026 bagi mempercepatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui di bumbung bangunan

Gambar Hiasan
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Dis - Kerajaan akan melaksanakan Program Tindakan Peralihan Dipercepatkan Solar (Solar ATAP) berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, bagi memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

 

Menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), program ini adalah kesinambungan kepada skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang berakhir pada 30 Jun 2025, dan selaras dengan pengumuman terdahulu pada 12 September.

 

“Sebagai pengawal selia industri bekalan elektrik, Suruhanjaya Tenaga telah menyediakan garis panduan Solar ATAP yang boleh diakses melalui laman webnya bermula 31 Disember 2025. Permohonan boleh dikemukakan mulai 1 Januari 2026 melalui laman web SEDA,” jelas kenyataan itu.

 

PETRA menambah, program muktamad Solar ATAP merangkumi penambahbaikan berdasarkan maklum balas pihak berkepentingan.

 

Antara pembaharuan utama, program ini tidak mempunyai kuota tetap pada peringkat pelancaran, namun kerajaan mengekalkan hak untuk menetapkan had sekiranya integrasi solar yang tidak terkawal menjejaskan kestabilan grid nasional.

 

Selain itu, prinsip asas NEM dikekalkan, membolehkan lebihan tenaga solar disalurkan ke grid untuk mendapatkan kredit tenaga, dengan kadar yang lebih menarik berbanding skim Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo) sedia ada.

 

PETRA menetapkan kadar kredit tenaga berdasarkan harga pasaran elektrik; pengguna bukan domestik menerima harga marginal sistem, manakala pengguna domestik menerima kadar caj tenaga semasa mereka.

 

Bagi kapasiti sistem solar, had ditetapkan pada 100 peratus daripada permintaan maksimum, membolehkan pengguna mengoptimumkan pemasangan untuk kegunaan sendiri. Bagi kediaman domestik, rumah fasa tunggal dibenarkan memasang sistem sehingga 5kW, manakala rumah fasa tiga dinaikkan daripada 12.5kW kepada 15kW.

 

Program Solar ATAP dijangka menjadi pilihan utama pengguna untuk memanfaatkan bumbung bangunan bagi penjanaan tenaga boleh diperbaharui, sambil mempercepat pembangunan tenaga bersih dan menyokong sasaran pengurangan karbon negara.

 

PETRA yakin inisiatif ini akan menjadi pemangkin strategik jangka panjang dalam memperkukuh landskap tenaga negara dan menyokong aspirasi Malaysia mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

 

“Inisiatif ini bukan sahaja memacu kelestarian negara, malah mencerminkan komitmen Malaysia terhadap generasi kini dan akan datang, selaras dengan teras dan nilai Malaysia MADANI,” katanya. — BERNAMA