Dalam landskap perniagaan yang semakin mencabar, jurang antara perusahaan kecil dan gergasi korporat sering kali kelihatan mustahil untuk ditembusi.
Syarikat korporat lazimnya mengenakan pelbagai syarat serta peraturan yang kadangkala menyebabkan pemain baharu berasa terlalu sukar untuk menjalinkan urus niaga.
Di sebalik semua itu, peneraju infrastruktur utama negara, UEM Group Berhad sejak tahun 2015 telah secara strategik meneroka inisiatif untuk mengubah naratif kejayaan bagi ratusan usahawan tempatan.
Melalui Agenda Pemerkasaan Vendor Bumiputera (BVEA) yang dipelopori oleh UEM Group dan dilaksanakan oleh UEM Sunrise Berhad selaku anak syarikatnya, lebih daripada 500 vendor Bumiputera kini bukan sekadar pembekal berdaftar kepada sayap pembangunan hartanah itu, malah menjadi rakan strategik yang memacu ekonomi negara.
Program BVEA UEM Sunrise itu juga merupakan usaha menyokong agenda pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang dilancarkan pada Ogos 2024 serta Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang memberi tumpuan kepada penskalaan syarikat Bumiputera dengan sasaran 15 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2035.
Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin memberitahu DagangNews, pembangunan vendor Bumiputera perlu dipacu oleh perkongsian yang berkekalan kerana inisiatif itu bukan transaksi jangka pendek, sebaliknya merupakan ekosistem yang membina peluang, pendedahan, sokongan serta keupayaan dan daya tahan dari semasa ke semasa.

Sebuah syarikat yang menyertai program BVEA UEM Sunrise ialah Reed Works Sdn. Bhd. yang menyifatkan ekosistem yang dikongsi Amran Hafiz sebagai “sekolah praktikal” yang membuka peluang kepada agensi kreatif berkenaan memperoleh kontrak daripada syarikat korporat lain.
Pengurus Besar Kreatif Reed Works, Natasha Nazli berkata berkata, syarikat itu menyimpan visi untuk agensi bukan tradisional yang menawarkan penyelesaian disruptif.
“Penglibatan kami bersama UEM Sunrise bermula pada 2016 apabila diberi kepercayaan untuk menghasilkan sebuah video CSR, yang kemudian membuka ruang kepada beberapa lagi kolaborasi bersama UEM Sunrise sebelum Reed Works diserap masuk di bawah BVEA,” katanya dalam satu wawancara di sini baru baru ini.
Jelas Natasha, penyertaan Reed Works dalam program vendor ini sebenarnya adalah satu proses pembelajaran yang mendalam mengenai tadbir urus.
“Melalui bimbingan UEM Sunrise, Reed Works memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) menjadi lebih kemas dan sistem perolehan yang teratur,” katanya.

Segala bimbingan ini telah menyumbang ke arah usaha transformasi yang dimulakan oleh Reed Works di mana mereka kini berkembang dengan 20 orang tenaga kerja profesional.
Lebih membanggakan, peranan Reed Works berevolusi daripada sekadar menghasilkan kandungan kreatif kepada menjadi penasihat jenama strategik yang mengendalikan penjenamaan semula korporat UEM Sunrise dan projek perbandaran mega seperti Gerbang Nusajaya, katanya.
“Disiplin operasi yang dipelajari daripada UEM Sunrise membolehkan kami mengekalkan kreativiti sambil memiliki struktur pengurusan yang kukuh untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” jelas Natasha.
Selain Reed Works, sebuah syarikat perunding kejuruteraan, PSB Associates Sdn. Bhd. turut mendapat manfaat daripada BVEA.
Pengarah PSB Associates, Ir Abu Bakar Omar yang senada dengan Natasha menjelaskan bahawa walaupun seseorang individu mempunyai pengalaman luas, konglomerat tetap akan menilai pengalaman syarikat sebelum membuat sebarang pelantikan.

“Kepercayaan ialah taruhan berharga dalam perniagaan. Realiti perniagaan memang mencabar. Tanpa rekod prestasi syarikat yang kukuh, sukar bagi firma baharu mendapatkan projek berskala besar. Di sinilah UEM Sunrise memainkan peranan sebagai pengubah peraturan.
“Walaupun PSB Associates ketika itu baharu bertapak dengan tiga orang kakitangan graduan baharu, UEM Sunrise mengambil risiko dengan melantik syarikat ini sebagai perunding bagi projek kediaman bertingkat tinggi, Bayu Angkasa.
“Tanpa projek UEM Sunrise, tiada PSB Associates. Melalui program vendor ini, kami dibimbing bukan sahaja dalam aspek teknikal, tetapi juga dalam pengurusan syarikat dan dokumentasi projek. Bimbingan ini membolehkan kami membina reputasi yang kukuh,” katanya.
PSB Associates kini berkembang menjadi firma dengan 35 orang kakitangan serta memiliki ibu pejabat sendiri. Kejayaan terbesar syarikat itu kini membolehkan mereka melangkah ke sektor teknologi tinggi.
“Berbekalkan disiplin dan kualiti kerja yang dipupuk bersama UEM Sunrise, PSB Associates kini menjadi antara segelintir firma perunding tempatan yang mampu mengendalikan projek pusat data bernilai berbilion ringgit dan menuntut piawaian antarabangsa yang ketat,” katanya.

Menjelaskan pengalaman Reed Works dan PSB Associates itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan berkata, kejayaan vendor tersebut mewujudkan kitaran kemajuan bersama.
“Di UEM Sunrise, ini merupakan tanggungjawab jangka panjang kami. Apabila perusahaan Bumiputera diperkasa untuk membina keupayaan dan berkembang secara mampan, ekosistem penyampaian kami turut menjadi lebih kukuh.
"Akhirnya, kerjasama ini membina perniagaan yang lebih berdaya tahan serta meletakkan asas yang lebih kukuh untuk generasi akan datang,” kata beliau. - DagangNews.com








