Produk udang hiliran bernilai tinggi jana prospek margin MAG Holdings – Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Produk udang hiliran bernilai tinggi jana prospek margin MAG Holdings – Mercury Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Sept – Perluasan produk segmen udang hiliran bernilai tambah dijangka menjadi pemacu utama pengukuhan potensi margin keuntungan MAG Holdings Berhad, menurut Mercury Securities.


Berdasarkan kepada perkembangan positif itu, firma penyelidikan tersebut menyarankan saranan ‘beli’ ke atas saham syarikat akuakultur berkenaan dengan harga sasaran kekal kepada 22 sen sesaham.


Dalam laporan inisiatif kajian pertama sejak 2020, ia berkata penglibatan MAG dalam pemprosesan udang berpotensi meningkatkan pendapatan secara ketara, selain menambah kecekapan operasi.


"Usaha syarikat melonjakkan daya saing di pasaran eksport dan domestik diyakini membantu margin terus kukuh disokong kecekapan skala serta sumbangan bernilai tinggi segmen hiliran,” jelasnya.


Mercury Securities menjangkakan margin untung kasar kumpulan akan meningkat secara berperingkat daripada 23% bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) kepada hampir 26% menjelang FY28.


Situasi berkenaan kata firma penyelidikan tersebut dalam nota kajiannya, didorong oleh penjualan produk diproses yang didapati lebih menguntungkan berbanding dijualkan terus secara mentah.


MAG kini mengoperasikan 384 kolam ternakan udang di Tawau, Sabah, dengan kapasiti sehingga 7,000 tan setahun, selain memiliki kemudahan pemprosesan dengan keupayaan 12,000 tan produk setahun.


"Sekitar 60% hasil jualan kumpulan ini disumbangkan oleh pasaran eksport termasuk China dan Korea Selatan, manakala selebihnya disasarkan pula kepada pasaran domestik," kata Mercury Securities.


Tambahnya, MAG mempunyai kuasa penetapan harga, terutama melalui hubungan dengan pembeli global termasuk rangkaian restoran terbesar di China dan sambutan perayaan musim udang di Korea Selatan.


Saham MAG juga katanya, masih kurang dimiliki oleh pelabur institusi, dengan pegangan kurang 3% daripada terbitannya, menyebabkan ia didagangkan pada diskaun berbanding syarikat sama industri.


Ia kata Mercury Securities, bergerak dalam julat 13 sen hingga 27 sen sejak lima tahun lalu. Syarikat itu sebelum ini dikenali XingHe Holdings Berhad, manakala sebelum 2014 pula sebagai Key West Global.


"Kami namun menjangka jurang ini akan mengecil apabila kesedaran pelabur meningkat, terutamanya susulan penyenaraian Camaroe Berhad di Bursa Malaysia pada Oktober 2025,” menurut firma itu.


Dengan penguasaan pasaran yang kukuh dalam industri akuakultur Malaysia serta potensi jangka panjang di pasaran global, MAG dilihat sebagai peneraju berterusan industri udang dunia. - DagangNews.com