KUALA LUMPUR 19 Feb – Prestasi kewangan MGB Berhad bagi FY25 mencatat penyusutan tahun ke tahun (YoY) susulan sumbangan rendah segmen pembangunan hartanah dan beberapa projek pembinaan.
Bagaimanapun, menurut Mercury Securities, prospek kumpulan berkenaan pada FY26 diramal adalah kekal positif disokong oleh potensi hasil masa depan yang dianggarkan boleh mencecah kira-kira RM5 bilion.
Kata firma penyelidikan tersebut, keuntungan bersih teras 12MFY25 adalah sejajar dengan jangkaan, yang mewakili 101% daripada anggarannya, meskipun tiada dividen berbanding 1.54 sen sesaham pada FY24.
"Bagi FY25, hasil merosot 11.2% kepada RM0.92 bilion daripada RM1.03 bilion pada FY24, manakala untung bersih susut 10.9% kepada RM50.2 juta berbanding RM56.4 juta sebelumnya," jelas firma itu.
Penurunan ini kata Mercury Securities, berpunca sumbangan lebih rendah segmen pembangunan hartanah yang jatuh 19% YoY serta kemajuan minimum projek pembinaan seperti Prestige dan Kita Sejati.
Hasil segmen pembinaan turut merosot 3.9% YoY kepada RM527 juta, selain kerugian sebelum cukai (LBT) RM20.2 juta berbanding keuntungan RM10.5 juta pada FY24, akibat peningkatan kos subsidiari.
Secara suku ke suku (QoQ) jelasnya, prestasi MGB menunjukkan pemulihan apabila hasil meningkat 8.1% disumbangkan kemajuan projek pembinaan berterusan seperti CI Medini, Skyria dan Centrum Iris.
"Meskipun keuntungan sebelum cukai susut 7.2% kepada RM17.2 juta kerana kos pentadbiran tinggi, keuntungan bersih naik 14.1% kepada RM14 juta berikutan cukai rendah," kata Mercury Securities.
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan FY26 selepas mengambil kira kontrak luar negara terbesar bernilai sehingga RM444 juta bagi kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) di Arab Saudi.
Justeru, ia mengekalkan harga sasaran (TP) berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) RM1.01 dengan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sasaran 11 kali dan saranan tidak berubah 'beli'.
Prospek jangka sederhana MGB disokong potensi hasil masa depan daripada lima pemacu utama iaitu pembinaan, perumahan mampu milik, serta usaha sama pratuang di Arab Saudi yang bernilai tinggi.
"Kumpulan itu ada pelancaran projek secara konsisten termasuk di Cameron Highlands dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM128.2 juta, dan Idaman KITA (RM328.1 juta)," tambah firma tersebut.
Selain itu kata Mercury Securities, ia memiliki dua projek perumahan mampu milik di bawah skim Rumah Selangorku 3.0 melibatkan 3,840 unit dengan GDV RM762 juta dijangka dilancarkan pada 3Q26.
Setakat ini, buku tempahan pembinaan MGB kekal kukuh pada RM1.15 bilion, namun ia perlu berwaspada dengan risiko utama termasuk kegagalan menambah projek baharu, dan jualan hartanah yang lemah.
Secara keseluruhan, walaupun berdepan cabaran jangka pendek, firma itu kekal optimis terhadap trajektori pertumbuhan MGB menjelang FY26 disokong oleh banyak projek. - DagangNews.com








