KUALA LUMPUR 30 Jan – KLCCP Stapled Group dijangka mencatatkan prestasi FY26 yang stabil dengan aliran pendapatan yang kukuh daripada segmen pejabat dan runcit hasil kadar huni serta sewaan yang tinggi, menurut penganalisis.
Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur (MOKL) dijangka pulih selepas proses naiktaraf kemudahan dan mendapat manfaat daripada acara besar serta peningkatan pelancong melalui kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“KLCCP dijangka menikmati untung bersih lebih tinggi kerana bayaran faedah atau pinjaman rendah namun masih ada beberapa risiko termasuk cukai 10% untuk dividen tamat, persaingan pusat beli-belah lain dan kos operasi yang meningkat yang boleh menekan keuntungannya.
“Segmen runcit akan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan FY26 dengan Suria KLCC mengekalkan posisi sebagai pusat beli-belah utama.
“Selain itu, segmen pejabat dijangka mengekalkan pendapatan stabil dengan kontrak sewa jangka panjang yang menyokong aliran tunai. Ini menjadikan pejabat sebagai penyumbang defensif kepada keseluruhan pendapatan KLCCP,” kata penganalisis.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih KLCCP Stapled Group meningkat 55.3% kepada RM669.3 juta pada 4QFY25
CGS International menjangka FY26 KLCCP akan mencatat keuntungan sederhana dan dividen yang stabil.
Firma ini mengekalkan cadangan Pegang dengan sasaran harga RM8.85 dan menekankan bahawa potensi kenaikan saham adalah terhad tetapi pendapatan tetap stabil.
Maybank Investment Bank pula melihat faktor positif termasuk kos kewangan lebih rendah, penguasaan penuh Suria KLCC, dan momentum pelancongan yang meningkat.
Firma tersebut meletakkan beberapa risiko seperti hotel yang terlalu bergantung kepada pelancong antarabangsa, persaingan pusat beli belah baharu dan tekanan inflasi.
Maybank IB turut mengekalkan Cadangan Pegang dengan harga sasaran dinaikkan ke RM9.18 daripada RM9.00.
Dalam pada itu, MBSB Research mengekalkan cadangan Neutral kerana walaupun pendapatan dan dividen stabil, potensi harga saham naik adalah terhad.
Firma itu menaikkan sasaran harga kepada RM8.80 berbanding RM8.40, menegaskan potensi kenaikan harga saham adalah minimum kerana pasaran sudah mencerminkan kekukuhan aset. - DagangNews.com








