KUALA LUMPUR 4 Julai – Prestasi kewangan Westports Holdings Bhd bagi suku ketiga 2025 (3Q25) dijangka bertambah baik hasil kenaikan caj pelabuhan sebanyak 15 peratus yang akan berkuat kuasa mulai 15 Julai ini, kata CGS International.
Firma penyelidikan itu meramalkan syarikat pengendali pelabuhan tersebut akan menikmati peningkatan hasil purata tahunan bagi setiap unit kontena standard (ARPT).
Menurut firma itu, pertumbuhan volum kontena yang lebih kukuh pada suku kedua (2Q25) akan menjadi pemangkin kepada penyemakan semula harga saham Westports.
"Kenaikan 15 peratus dalam caj pelabuhan mulai 15 Julai nanti turut akan meningkatkan prestasi suku ketiga syarikat tersebut.
"Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘Tambah’ terhadap saham Westports," katanya.
CGS International turut menaikkan harga sasaran kepada RM6.41, didorong jangkaan pendapatan penyimpanan kontena yang lebih tinggi berikutan kadar penggunaan ruang limbungan yang terus meningkat.
Firma itu memaklumkan kadar penggunaan limbungan Westports kekal melebihi 90 peratus sepanjang separuh pertama 2025 (1H25).
Antara faktor yang mempengaruhi prestasi itu adalah tindakan tegas kerajaan terhadap import sisa elektrik dan logam haram sejak 2024.
Pemeriksaan kastam yang lebih ketat menyebabkan sekitar 5,000 hingga 6,000 kontena terkandas di limbungan Westports, sebahagiannya sehingga 60 hari.
Kontena-kontena itu berkemungkinan akan dilepaskan untuk pasaran tempatan atau dihantar semula ke pelabuhan asal.
Sekiranya pengimport tidak dapat dikenal pasti, Westports akan menuntut caj penyimpanan daripada syarikat perkapalan yang berkaitan.
Menurut CGS, tunggakan tersebut menyumbang kepada peningkatan ARPT sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun (YoY) pada 1Q25 dan aliran positif itu dijangka berterusan dalam 2Q25.
Dalam pada itu, firma itu juga percaya pertumbuhan volum kontena pada suku kedua 2025 melebihi kadar pertumbuhan YoY sederhana sebanyak 0.6 peratus yang dicatatkan pada 1Q25.-DagangNews.com








