KUALA LUMPUR 28 Jan – Prestasi jangka pendek PGF Capital Berhad dibimbangi terjejas akibat faktor bermusim, namun momentum pendapatan dijangka kembali pulih mulai FY27, menurut Mercury Securities.
Sehubungan itu dalam analisis terkini, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran yang masih tidak berubah iaitu RM2.43.
Katanya, walaupun prestasi syarikat pada tempoh 9MFY26 berada di bawah jangkaannya, ia masih lagi selari dengan anggaran konsensus pasaran, apabila mencatatkan keuntungan bersih teras RM18 juta.
"Perbezaan unjuran firma ini disebabkan oleh 'output' pengeluaran lebih rendah bagi segmen penebat serta ketiadaan sumbangan segmen pembangunan hartanah," kata Mercury Securities dalam notanya.
Sehubungan itu, tiada sebarang pengumuman dividen yang diisytiharkan Lembaga Pengarah PGF Capital bagi suku tersebut, selaras amalan syarikat yang lazimnya mengumumkan dividen pada suku kedua.
Bagi tempoh sembilan bulan, hasil meningkat 7.2% tahun ke tahun (YoY), disokong oleh permintaan yang stabil dalam segmen penebat apabila berkembang kira-kira 7.8% kepada sebanyak RM129.7 juta.
Bagaimanapun jelas Mercury Securities, kumpulan berkenaan mencatatkn keuntungan bersih teras yang merosot 10.1%, disebabkan oleh faktor kos pembiayaan bersih lebih tinggi daripada unjuran awal.
"Selain itu kerugian belum direalisasi RM3 juta daripada kemudahan pertukaran mata wang secara bersilang, dan kerugian pertukaran asing RM1.2 juta akibat kelemahan mata wang eksport," katanya.
Secara suku ke suku (QoQ), hasil PGF Capital menurun 2.8%, namun keuntungan bersih meningkat 9.5%, hasil daripada margin kasar lebih baik, pengurangan perbelanjaan operasi dan kos pembiayaan bersih.
Mercury Securities kekal optimis terhadap pendapatan jangka sederhana kumpulan berkenaan, disokong permintaan secara berterusan terhadap penebat 'glass mineral wool' di pasaran eksport utama.
Di samping itu katanya, sokongan kawal selia seperti Kod Pembinaan Nasional (NCC 2022) di Australia dan Rang Undang-Undang Kecekapan Tenaga (EECB) di Malaysia, dinilai memberi kesan yang positif.
"Sumbangan segmen pembangunan hartanah dijangka lebih ketara pada FY27, bersama momentum daripada segmen teras penebat yang akan membantu PGF Capital," jelas firma itu. - DagangNews.com








