KUALA LUMPUR 22 Jun – Johor Corporation (JCorp) mencatat prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025) apabila keuntungan bersihnya melonjak kepada RM703 juta, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Kumpulan pelaburan milik kerajaan negeri Johor itu merekodkan pendapatan sebanyak RM7.63 bilion, meningkat 10 peratus daripada RM6.96 bilion yang dicatatkan pada FY2024.
Keuntungan sebelum cukai turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila meningkat 45 peratus kepada RM1.04 bilion berbanding RM718 juta setahun sebelumnya.
Menurut JCorp, pencapaian itu didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam beberapa perniagaan utamanya, khususnya sektor kesihatan dan kesejahteraan serta agribisnes.
Selain itu, langkah memperkemas operasi, mengurus kos secara berhemah dan sumbangan yang lebih baik daripada syarikat-syarikat dalam portfolionya turut menyokong peningkatan prestasi kumpulan.
Aset Bersih Terus Berkembang
Kedudukan kewangan JCorp juga terus mengukuh apabila aset bersihnya meningkat kepada RM12.21 bilion berbanding RM11.76 bilion pada tahun sebelumnya.
Tunai dan setara tunai yang dimiliki kumpulan bertambah kepada RM2.77 bilion, sekali gus memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk menyokong rancangan pertumbuhan masa depan.

Pada masa sama, nisbah penggearan kasar bertambah baik kepada 0.75 kali, mencerminkan pengurusan hutang yang lebih terkawal.
Jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) JCorp turut berkembang kepada hampir RM30 bilion, sekali gus menunjukkan peningkatan saiz dan nilai portfolio pelaburannya.
Prestasi Sektor Kesihatan Dan Agribisnes Jadi Pemacu Utama
Pengerusi JCorp merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan asas perniagaan kumpulan serta seiring dengan momentum pertumbuhan ekonomi Johor yang semakin rancak.
Beliau berkata, pendekatan jangka panjang, pelaksanaan yang konsisten dan hala tuju strategik yang jelas membolehkan JCorp terus mewujudkan nilai mampan di samping memastikan peluang pelaburan di Johor diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti dan pembangunan komuniti.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, prestasi FY2025 mencerminkan kemajuan berterusan kumpulan dalam memperkukuh portfolio pelaburan dan keupayaan organisasinya.
Beliau berkata, sektor kesihatan dan kesejahteraan kekal menjadi penyumbang pendapatan terbesar kumpulan menerusi KPJ Healthcare Bhd yang merekodkan pendapatan RM4.26 bilion dan keuntungan sebelum cukai RM563 juta.
“Selain itu segmen agribisnes yang diterajui Kulim (Malaysia) Bhd dan Johor Plantations Group Bhd menjana pendapatan RM1.76 bilion serta keuntungan sebelum cukai RM472 juta, disokong harga komoditi yang lebih tinggi dan kecekapan operasi yang bertambah baik,” katanya. - DagangNews.com








