Press Metal dijangka catat keuntungan teras antara RM500-RM600 juta bagi 3QFY2025 - Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Press Metal dijangka catat keuntungan teras antara RM500-RM600 juta bagi 3QFY2025 - Affin Hwang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov – Press Metal Aluminium Holdings Bhd dijangka mencatatkan keuntungan teras antara RM500 juta hingga RM600 juta bagi suku ketiga 2025 didorong oleh peningkatan harga aluminium, menurut Affin Hwang Investment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan Press Metal akan mencapai keuntungan tertinggi bagi tahun kewangan 2026 walaupun dijangka ringgit Malaysia lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat. 

 

Affin Hwang juga menaikkan unjuran keuntungan FY2025 hingga FY2027 Press Metal sebanyak 9% hingga 16% susulan perubahan harga alumunium yang membawa kepada margin lebih menguntungkan.

 

Dalam suku kedua 2025, Press Metal mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 6% kepada RM4.19 bilion berbanding RM3.95 bilion dalam tempoh sama tahun lalu didorong jumlah jualan lebih tinggi.

 

Affin Hwang berkata, trend itu dijangka  berterusan sehingga November dengan harga alumina kini hanya membentuk 11% daripada harga aluminium.

 

Firma penyelidikan itu turut menaikkan sasaran harga saham kepada RM7.40  daripada RM6.40 berdasarkan nisbah harga-ke-pendapatan purata lima tahun lepas sebanyak 24 kali yang digunakan pada EPS 2026.

 

Ia turut mengekalkan saranan “beli” untuk saham Press Metal.

 

Namun, firma itu berkata, terdapat beberapa risiko yang boleh menurunkan keuntungan Press Metal antaranya ialah permintaan aluminium global lebih rendah daripada jangkaan, ringgit lebih kukuh berbanding dolar AS yang boleh menjejaskan hasil jualan dan kos bahan mentah seperti alumina meningkat lebih tinggi daripada yang dijangka. 

 


Firma penyelidikan itu berkata, perubahan harga aluminium memberi kesan besar terhadap keuntungan syarikat.
“Permintaan aluminium global dijangka meningkat sederhana kepada 2.2% pada 2026 berbanding 2.4% tahun ini, terutamanya disebabkan penurunan penggunaan di China yang menyumbang sebahagian besar permintaan global.

 

“Bekalan aluminium global pula dijangka meningkat 2.3% pada 2026, dengan pertumbuhan pengeluaran China terhad kepada 0.5% kerana menghampiri kapasiti maksimum. 

 

“Peningkatan bekalan akan didorong oleh kapasiti baharu di Indonesia dan kemungkinan peningkatan pengeluaran di Eropah,” kata Affin Hwang. - DagangNews.com