KUALA LUMPUR 27 Ogos – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember 2025.
Beliau akan digantikan oleh Mohamed Nazri Omar yang bakal mengambil alih jawatan tersebut mulai 1 Januari 2026.
CGC berkata, pengunduran Mohd Zamree menandakan berakhirnya satu dekad kepimpinan transformasi sejak beliau mula menerajui syarikat pada 2015.
“Dengan pengalaman 36 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan, beliau telah memainkan peranan penting dalam merombak semula CGC.
“Ini termasuk melaksanakan dua pelan strategik lima tahun berturut-turut yang memacu pertumbuhan syarikat berasaskan tiga tonggak iaitu jaminan, pembiayaan dan inisiatif di luar jaminan,” kata CGC dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang tempoh pentadbirannya, Mohd Zamree memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menutup jurang pasaran serta mengukuhkan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Antara inisiatif tersebut termasuk pelancaran BizWanita (2015), BizMikro (2020), program pembangunan CGC, penubuhan platform imSME (2018) dan terbaru skim jaminan untuk syarikat pertengahan Malaysia (2025).
CGC berkata, sumbangan beliau turut mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pada 2024, Mohd Zamree dianugerahkan Distinguished Person Award oleh Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) Sustainable Awards atas pencapaian sepanjang hayat dalam bidang perbankan Pembangunan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein merakamkan penghargaan kepada Mohd Zamree atas kepimpinan cemerlangnya sepanjang 10 tahun lalu.
“Beliau telah membina asas yang kukuh untuk CGC, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin utama pertumbuhan dan daya tahan PMKS.
“Pada masa sama, kami berbesar hati mengalu-alukan pelantikan Mohamed Nazri Omar sebagai Presiden dan CEO baharu.
“Kami yakin pengalaman luas beliau dalam institusi kewangan dan kewangan pembangunan akan memperkukuh kapasiti CGC dalam menawarkan penyelesaian inovatif serta memperluas impak kepada PMKS, salah satu komponen utama ekonomi Malaysia,” katanya.
Mohamed Nazri, yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam perbankan korporat dan pelaburan, akan menyertai CGC pada Oktober ini bagi memastikan kelancaran proses peralihan kepimpinan.
Beliau kini merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan Korporat dan Pelaburan di Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), dengan tanggungjawab merangkumi perbankan korporat dan penasihatan, perbendaharaan dan pelaburan, pembangunan perniagaan, strategi dan pembangunan produk.
Beliau juga merupakan pengarah di beberapa anak syarikat BPMB.
Sebelum itu, beliau pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin Nasional Berhad (2014–2022) dan Pengerusi Prima Ekuiti (UK) Ltd (2019–2020).
Karier awal Mohamed Nazri dibina melalui pelbagai peranan dalam perbankan korporat, pelaburan serta pasaran modal bersama institusi kewangan terkemuka, termasuk Kuwait Finance House Malaysia (2005–2011), RHB Sakura Merchant Bankers (2004–2005), Macquarie Bank (2001–2004) dan Citibank (1997–2001). - DagangNews.com








