Prasarana, MRT, KTMB, Jambatan Kedua antara syarikat MoF Inc. alami kerugian - Laporan Audit 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prasarana, MRT, KTMB, Jambatan Kedua antara syarikat MoF Inc. alami kerugian - Laporan Audit 2023

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Prasarana Sdn Bhd (Prasarana), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) adalah antara syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MoF Inc.) yang mengalami kerugian, berdasarkan maklumat daripada laporan kewangan beraudit 2023.

 

Kementerian Kewangan menjelaskan, kebanyakan syarikat itu yang melaksanakan projek infrastruktur awam, terutama pengangkutan rel dan infrastruktur jambatan, mengalami kerugian bagi menyokong penyediaan perkhidmatan untuk keselesaan rakyat dengan kadar tambang yang murah dan berpatutan.

 

 

 

 

 

 

Kementerian itu berkata, MoF Inc. sebagai pemegang saham majoriti syarikat sentiasa berusaha meningkatkan kawalan bagi memantau prestasi syarikat dari segi kewangan dan tadbir urus supaya operasi syarikat MoF Inc. selaras dengan objektif penubuhan dan mandat yang ditetapkan.

 

"Antara langkah yang diambil untuk meningkatkan pemantauan terhadap syarikat MoF Inc. adalah melalui pembentangan pelan perniagaan tahunan syarikat, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) syarikat dan laporan pencapaian KPI setiap suku tahun, Pelaporan Penyata Kewangan Beraudit Tahunan dan Pelaporan Pengurusan Kewangan Suku Tahun.

 

"Selain itu, MoF Inc. juga mengambil inisiatif dengan mengadakan Mesyuarat Corporate Improvement Programme (CIP) bagi syarikat MoF Inc. yang tidak mencapai sasaran KPI sekurang-kurangnya 80 peratus pada tahun semasa, yang mana Mesyuarat CIP bertujuan mengenal pasti masalah yang dihadapi syarikat dan membincangkan penambahbaikan struktur syarikat.

 

"Syarikat MoF Inc. yang gagal mencapai sasaran KPI juga diminta mengemukakan penjelasan lanjut dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan syarikat bagi memperbaiki prestasi serta kedudukan kewangan," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

 

Kementerian menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai senarai 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mencatatkan kerugian tertinggi dan langkah serta tindakan undang-undang yang diambil kerajaan untuk menangani kerugian itu.

 

Kementerian Kewangan memaklumkan, beberapa syarikat MoF Inc juga mencatatkan keuntungan, iaitu Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), IJN Holdings Sdn Bhd dan SIRIM Berhad.

 

Kementerian berkata, syarikat GLC di bawah MOF Inc ditubuhkan bukan berorientasikan keuntungan tetapi untuk tujuan tertentu berdasarkan mandat yang ditetapkan kerajaan, antaranya menyediakan perkhidmatan dan obligasi sosial kepada rakyat, seperti perkhidmatan pengangkutan/infrastruktur awam dan utiliti.

 

 

 

 

 

 

 

 

Selain itu, menggalakkan pembangunan ekonomi melalui sokongan kepada pewujudan industri baharu, terutama yang memerlukan modal awalan yang besar dan menggalakkan pembangunan teknologi, seperti aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta menarik pelabur tempatan dan asing melabur dalam bidang khusus yang bernilai tinggi, seperti kecerdasan buatan (AI), nanoteknologi dan teknologi maklumat.

 

"Ia juga bagi memenuhi jurang pasaran yang tidak diceburi sektor swasta dan mengekalkan kepentingan kerajaan dalam sektor strategik," katanya. - DagangNews.com