KUALA LUMPUR 29 Jan - Di sebalik keputusan kewangan bagi tahun kewangan 2025 (FY25) yang sejajar dengan jangkaan, dengan pendapatan bersih teras mencatat 101% daripada unjuran penganalisis dan 104% daripada konsensus pasaran, penganalisis tetap memberikan penarafan yang bebeza terhadap prospek IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) menukar saranan daripada ‘BUY’ kepada ‘HOLD’ dengan pandangan kekuatan harga saham baru-baru ini telah mengurangkan potensi kenaikan nilai, dan dengan itu, harga sasaran berdasarkan model DDM kekal pada MYR2.96.
Firma penyelidikan itu juga membuat pelarasan kecil erhadap unjuran FY28E dengan menurunkan unjuran pendapatan FY26E/FY27E masing-masing sebanyak 0.3%/0.6% selepas menyelaraskan andaian kos pembiayaan.
"Nisbah pinjaman (Gearing) meningkat secara sederhana kepada ~26% (dari ~21%), dengan profil hutang kebanyakannya kadar tetap (~91%), menjadikan risiko imbangan kira-kira kekal terkawal," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu MBSB Research berkata, IGB REIT dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih baik pada tahun kewangan 2026 (FY26), terutamanya susulan sumbangan daripada Mid Valley Southkey Mall.
Bagaimanapun, nisbah pinjaman (gearing) IGB REIT meningkat sedikit daripada 0.21x kepada 0.26x selepas pengambilalihan Mid Valley Southkey Mall, namun masih dianggap berada pada tahap sihat.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan NEUTRAL bagi IGB REIT dengan harga sasaran (TP) disemak semula kepada RM2.84 daripada RM2.70, berdasarkan model Diskaun Dividen.
Katanya, walaupun prospek pendapatan menjanjikan, hasil agihan kasar yang ditawarkan sebanyak 4.5% dianggap kurang menarik.
“Tiada perubahan dibuat terhadap ramalan pendapatan bagi FY26/27, manakala ramalan bagi FY28 turut diperkenalkan,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Research pula lebih positif terhadap prospek IGB REIT dengan menyifatkan momentum penyewaan IGB REIT kini didorong oleh aktiviti AEI (Asset Enhancement Initiative) yang proaktif serta pendekatan bina-ikut-tempahan, sejajar dengan keutamaan penyewa terhadap kos yang efisien, kualiti tempat kerja, dan kelestarian.
Katanya, pengurusan IGB REIT menjangkakan kenaikan sewa satu digit rendah hingga sederhana bagi FY26, yang dianggap realistik memandangkan bekalan pasaran pejabat semasa.
Selain itu katanya, strategi portfolio dengan pengiktirafan hijau sepenuhnya dijangka menyokong pengekalan penyewa dan mengurangkan risiko pusing ganti, manakala tumpuan kepada lokasi campuran utama membolehkan IGB REIT memperoleh bahagian pasaran walaupun dalam persekitaran pertumbuhan pejabat yang rendah
.
RHB mengekalkan penarafan ‘Beli’ dengan sasaran harga MYR0.72, tanpa premium atau diskaun ESG, selaras dengan skor 3.0 yang sepadan dengan median negara.
"Pada sasaran harga ini, IGBCR menawarkan hasil FY26F sekitar 6.4%," katanya.
Antara risiko utama termasuk penyewaan yang lebih perlahan bagi aset di Kuala Lumpur City Centre, kenaikan sewa yang lemah daripada jangkaan, serta perlambatan ekonomi yang memberi kesan kepada permintaan pejabat. - DagangNews.com








