KUALA LUMPUR 30 Mac - Permodalan Nasional Bhd (PNB) memutuskan untuk membatalkan rancangan pelupusan kepentingannya dalam Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), sebaliknya memilih untuk mengekalkan pelaburan tersebut selepas menilai pelbagai pilihan strategik.
PNB dalam maklum balas kepada The Edge berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian menyeluruh dan menilai pelbagai pilihan yang berpotensi, termasuk kemungkinan pelupusan, kemasukan rakan strategik atau mengekalkan pelaburan tersebut.
"Selepas penilaian menyeluruh, kami memutuskan untuk mengekalkan pelaburan dalam Prolintas. Pengekalan pegangan ini merupakan langkah paling berhemat dan mampu memaksimumkan nilai pada masa ini, berdasarkan keadaan pasaran semasa serta asas jangka panjang aset tersebut,” katanya.
Spekulasi mengenai penjualan Prolintas timbul sejak setahun lalu, dengan dua pihak dikenal pasti sebagai pembida berpotensi iaitu Tan Sri Azmil Khalili Khalid yang mengawal Kumpulan AFA dan IJM Corp Bhd.
Prolintas memiliki pegangan 51.02% dalam Prolintas Infra Business Trust (Prolintas IBT), yang memegang konsesi empat lebuh raya utama di Lembah Klang iaitu AKLEH, GCE, Kajang SILK dan LKSA, yang dilaporkan menunjukkan prestasi operasi yang stabil.
SUKE, DASH
Namun, dua lagi aset baharu kumpulan iaitu Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) masih berdepan cabaran susulan beban hutang tinggi dan tempoh matang operasi yang masih awal.
Kedua-dua lebuh raya tersebut mula beroperasi pada 2022 dengan kos pembinaan masing-masing RM5.7 bilion bagi SUKE dan RM4.2 bilion bagi DASH, serta dibiayai melalui instrumen hutang termasuk sukuk dan pembiayaan Islam jangka panjang.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Prolintas mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM714.07 juta dengan hasil RM547.06 juta, menjadikannya kerugian tiga tahun berturut-turut. Setakat akhir 2024, jumlah liabiliti kumpulan mencecah RM29.25 bilion berbanding aset RM16.77 bilion.
Sebaliknya, Prolintas IBT mencatat prestasi lebih stabil dengan keuntungan bersih RM28.85 juta bagi FY2025 berbanding RM26.57 juta pada tahun sebelumnya, walaupun berdepan kos kewangan tinggi.
Dengan kedudukan lebuh raya yang strategik di Lembah Klang, Prolintas IBT dijangka terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan trafik dan aktiviti ekonomi, dengan pasaran lebuh raya bandar diunjur berkembang pada kadar 4.6% setahun hingga 2027.
Unit Prolintas IBT ditutup pada 94 sen baru-baru ini, memberikan nilai pasaran sekitar RM1.03 bilion. - DagangNews.com








