KUALA LUMPUR 28 Okt – PMW International Bhd, pengeluar tiang konkrit prategasan, cerucuk dan produk konkrit bertetulang melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 18 November 2025.
Syarikat itu menyasarkan kutipan kasar sebanyak RM60.66 juta melalui terbitan 178.41 juta saham baharu pada harga RM0.34 sesaham.
Berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 892.05 juta saham, PMW dijangka memiliki modal pasaran sekitar RM303.3 juta selepas disenaraikan.
PMW berkata, hasil kutipan IPO akan digunakan bagi menyokong pelan pengembangan perniagaan, selaras dengan potensi pertumbuhan sektor pembangunan infrastruktur di Malaysia yang terus dipacu oleh komitmen kerajaan memperkukuh projek infrastruktur di seluruh negara.
“Daripada jumlah keseluruhan hasil IPO itu, sebanyak 77% akan digunakan untuk membiayai pembinaan loji baharu di Tanjung Manis, Sarawak, manakala 0.96% diperuntukkan bagi pembelian jentera dan peralatan baharu untuk menyokong operasi acuan serta pengeluaran tiang dan cerucuk berpusing.
“Baki dana akan digunakan bagi modal kerja umum dan perbelanjaan penyenaraian,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
PMW Group terlibat dalam reka bentuk, pembuatan dan penjualan tiang konkrit prategasan, cerucuk serta produk konkrit berkaitan seperti tiang hiasan, monopole dan cerucuk segi empat.
Melalui anak syarikatnya, kumpulan itu turut mengeluarkan acuan, mesin, produk logam dan pencahayaan.
Produk PMW digunakan secara meluas dalam industri penghantaran dan pengedaran tenaga, telekomunikasi, infrastruktur, pencahayaan serta pembinaan di Malaysia dan pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa berkata, penyenaraian di Pasaran ACE bukan sahaja menjadi pencapaian penting tetapi juga pengiktirafan terhadap lebih tiga dekad pengalaman dan kepakaran syarikat dalam industri konkrit dan infrastruktur.
“Penyenaraian ini adalah lambang komitmen kami untuk terus berkembang dan memperkukuh kedudukan sebagai pengeluar konkrit berpengalaman.
“Kami bersedia memulakan fasa pertumbuhan baharu dengan loji pembuatan di Tanjung Manis, Sarawak, yang akan membolehkan kami memanfaatkan kepakaran teknikal bagi memenuhi permintaan projek infrastruktur di negeri itu,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan peruntukan pembangunan persekutuan dalam Bajet 2026 yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menerima peruntukan tertinggi masing-masing sebanyak RM6.9 bilion dan RM6 bilion untuk membiayai projek utama seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Jalan Penghubung Sarawak–Sabah (SSLR).
“Loji baharu ini membolehkan kami membekalkan tiang dan cerucuk berpusing yang penting bagi memenuhi keperluan projek-projek infrastruktur tersebut,” katanya.
Tambahnya, permintaan terhadap produk konkrit dijangka terus meningkat selaras dengan pembangunan utiliti awam di Malaysia termasuk telekomunikasi dan tenaga elektrik yang disokong oleh inisiatif kerajaan persekutuan.
“Pertumbuhan penduduk, peluasan kawasan kediaman dan komersial serta pembangunan industri yang memerlukan sistem tenaga, telekomunikasi dan pencahayaan baharu turut mendorong permintaan jangka panjang bagi produk konkrit kami.
“Selain itu, pelaksanaan teknologi baharu seperti rangkaian 5G, gentian optik serta elektrifikasi sistem rel Malaysia turut membuka peluang pertumbuhan jangka panjang.
“Dengan hasil daripada IPO ini, PMW berada dalam kedudukan kukuh untuk memanfaatkan peluang ini dan memberi nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan,” jelasnya.
Tempoh permohonan IPO PMW dibuka mulai 28 Oktober dan akan ditutup pada 6 November 2025 pukul 5 petang.
KAF Investment Bank Bhd bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi tawaran awam tersebut. - DagangNews.com








