KUALA LUMPUR 20 Jun - Penyedia penjagaan kesihatan swasta, PMCK Bhd, yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, merancang untuk membayar sekurang-kurangnya 20% daripada keuntungan bersih sebagai dividen kepada pemegang saham pada masa akan datang.
TA Securities menjangka bayaran dividen antara 20% hingga 44% bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027, dengan pulangan dividen dianggarkan sekitar 1.3% hingga 2.1%.
"Pada harga tawaran IPO sebanyak 22 sen sesaham, PMCK dinilai dengan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 15.9 kali berdasarkan pendapatan tahun kewangan 2024," katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities juga meletakkan sasaran PE sebanyak 16 kali untuk tahun 2026 dengan nilai saksama 23 sen sesaham.
PMCK kini mengendalikan Pusat Perubatan Putra di Alor Setar, Kedah dan telah beroperasi lebih 30 tahun.
Hospital itu menawarkan perkhidmatan pakar dan sokongan klinikal dengan 40 orang pakar dalam 17 bidang.
Melalui penyenaraian di Bursa Malaysia, syarikat dijangka mengumpul RM60 juta.
PMCK juga merancang untuk mengukuhkan kedudukannya di utara Semenanjung Malaysia bagi menarik lebih ramai pesakit dan meningkatkan pertumbuhan jangka panjang.
Ketika ini, Kedah adalah antara negeri yang mempunyai jumlah katil hospital swasta paling rendah di Malaysia, menunjukkan masih banyak penduduk memerlukan akses kepada rawatan kesihatan swasta.
Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya, PMCK sedang membina pusat perubatan baharu di Kulim yang dikenali sebagai PMC Kulim dan dijangka mula beroperasi pada 1QFY28.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan bangunan 12 tingkat, termasuk pembangunan bercampur tujuh tingkat yang merangkumi hotel empat tingkat, medan selera dua tingkat dan tempat letak kereta.
PMCK juga akan menggabungkan makmal perubatannya, RYM DX Laboratory Sdn Bhd dengan PMC Kulim menjelang 1QFY28 untuk memenuhi permintaan yang semakin tinggi bagi perkhidmatan ujian diagnostik.
Di samping itu, PMCK turut merancang untuk menaik taraf peralatan dan kemudahan di PMC Kedah, termasuk perkhidmatan makmal dan unit radiologi.
TA Securities bagaimanapun menjangka untung bersih PMCK akan menurun sebanyak 24.8% kepada RM11.3 juta pada FY25.
Penurunan tersebut didorong jumlah pesakit yang berkurang akibat banjir di Alor Setar dan kawasan sekitarnya, yang menyukarkan orang ramai untuk datang ke hospital.
Margin keuntungan selepas cukai juga dijangka turun kepada 12.1% berbanding 14.4% pada FY24, kerana bilangan pesakit yang lebih rendah dan kos pengurusan yang meningkat, memandangkan hospital PMCK terus beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh hujan lebat dari September hingga Disember 2024. - DagangNews.com








