PM Anwar yakin TNB terajui usaha peralihan tenaga negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar yakin TNB terajui usaha peralihan tenaga negara

KUALA LUMPUR 4 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan syarikat tenaga nasional, Tenaga Nasional Bhd untuk menerajui usaha peralihan tenaga Malaysia dan menyokong pertumbuhan pesat pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital di negara ini.

 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ini digabungkan dengan kedudukan strategik negara dan persekitaran pelaburan yang kompetitif telah membolehkan Malaysia muncul sebagai destinasi utama dalam persaingan global bagi pembangunan infrastruktur digital.

 

“Kita terus menarik pelaburan berskala besar dalam pusat data terutamanya di Johor dan Sarawak.

 

“Ini meningkatkan cabaran – tetapi dalam perkara ini, saya yakin sepenuhnya terhadap keupayaan TNB untuk menerajui peralihan tenaga negara serta memenuhi aspirasi pembangunan AI dan tenaga,” kata beliau melancarkan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini hari ini.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

 

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa peralihan tenaga akan dilaksanakan secara inklusif, bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi serta dipacu oleh AI demi kepentingan negara.

 

“Ia perlu terus menjadi ukuran kepada usaha ini,” kata beliau.

 

Anwar turut memuji TNB kerana sekali lagi menganjurkan ETCon untuk mengadakan perbincangan dan dialog mengenai agenda peralihan tenaga.

 

ETCon yang pertama telah diadakan bersempena dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara pada 2023.

 

Persidangan yang berlangsung dari 3 hingga 5 Jun itu, menghimpunkan pihak berkepentingan global bagi mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara, selain menjadi platform pertemuan penggubal dasar, pakar teknologi, pelabur, ahli akademik serta pihak industri dari lebih 60 negara, dengan 4,000 perwakilan menyertai acara selama tiga hari itu.

 

Bertemakan ‘Energy & AI: The Synergy for Energy Transition’ (Tenaga & AI: Sinergi Bagi Peralihan Tenaga) menumpukan tiga tonggak utama, iaitu Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition (ET) for People (Tenaga bagi AI, AI untuk Tenaga dan Peralihan Tenaga (ET) untuk Rakyat) yang memaparkan kesalingbergantungan antara sistem tenaga dan teknologi digital. - BERNAMA