​​​​​PM Anwar tegaskan tidak akan bertoleransi jika ancam perpaduan, nilai kemanusiaan semua agama perlu dipertahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​PM Anwar tegaskan tidak akan bertoleransi jika ancam perpaduan, nilai kemanusiaan semua agama perlu dipertahan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar (kiri) dan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) Datuk Seri Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa (dua kanan) pada majlis Sidang Kemuncak Antarabangsa Kedua Pemimpin Agama di Kuala Lumpur.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang mengancam perpaduan, sambil menekankan bahawa keamanan dan keharmonian kekal sebagai asas demokrasi dan kebebasan negara.

 

Menurutnya, cabaran terhadap perpaduan bukan sahaja berpunca daripada ekstremisme agama, tetapi juga ekstremisme sekular yang menolak sebarang ruang untuk kepercayaan atau pegangan.

 

“Sikap tiada toleransi wujud di kedua-dua pihak, sama ada dalam bentuk Islamofobia atau pandangan yang memperlekeh tamadun lain.

 

“Samuel Huntington pernah menulis tentang ‘pertembungan tamadun’, tetapi saya setuju dengan Edward Said yang berpendapat ia sebenarnya pertembungan kejahilan. Inilah bentuk jahiliyyah baharu — kejahilan terhadap kebenaran, keadilan dan kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Kedua Pemimpin Agama, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) Datuk Seri Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa

 

Anwar berkata, kejahilan inilah yang membakar kebencian terhadap agama, masyarakat dan budaya yang tidak difahami, justeru pemimpin agama mesti bersatu mempertahankan nilai kemanusiaan dan prinsip luhur yang dikongsi semua agama.

 

Beliau menegaskan, pemimpin agama berperanan penting sama ada di peringkat antarabangsa dengan mempertahankan prinsip sejagat, mahupun di peringkat tempatan dengan melindungi hak minoriti.

 

“Di Malaysia, umat Islam membentuk kira-kira 60 peratus populasi, bersama Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain.

 

“Pemerintahan di negara ini memerlukan keterlibatan serta dasar yang menegakkan keadilan, maruah, kehidupan dan kehormatan untuk setiap lelaki, wanita, belia dan kanak-kanak.

 

“Kita bersyukur menikmati keamanan dan kemakmuran relatif. Tetapi jika ada pihak cuba mencetuskan kekacauan atau menyebar kebencian terhadap kaum atau agama lain, kita akan bertindak tegas. Kita tidak boleh benarkan keluarga dan komuniti musnah akibat perpecahan,” tegasnya.

 

Mengakui tiada sidang kemuncak mampu menyelesaikan semua krisis global, Anwar berkata perhimpunan pelbagai pemimpin agama itu sendiri adalah sesuatu yang jarang berlaku dan perlu dimanfaatkan untuk mempengaruhi negara serta rantau ke arah keamanan.

 

Katanya, Malaysia sentiasa memilih dialog berbanding konflik, termasuk apabila membantu jiran serantau seperti Thailand dan Kemboja yang pernah berdepan ketegangan.

 

Sidang kemuncak bertemakan “Peranan Pemimpin Agama dalam Menyelesaikan Konflik” itu menghimpunkan 1,500 peserta merangkumi sarjana, pemimpin politik, ahli parlimen, akademik serta pemimpin agama Islam dan bukan Islam dari dalam dan luar negara, mewakili lebih 54 negara jemputan.

 

Ia menjadi platform dialog antarabangsa inklusif, menonjolkan peranan konstruktif pemimpin agama dalam memupuk keamanan, memperkukuh perpaduan global serta menyumbang secara aktif kepada penyelesaian konflik dan keharmonian masyarakat. - DagangNews.com