KUALA LUMPUR 11 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan yang kerajaan sentiasa menghormati hak setiap rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian tertentu.
Bagaimanapun, beliau menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan yang melampau dilakukan peserta perhimpunan sehingga mencederakan penjawat awam dan mengancam ketenteraman awam.
Justeru, beliau mengecam tindakan pihak tertentu menyerang Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dalam insiden ketegangan di Kampung Sungai Baru, hari ini.
“Insiden mencederakan penjawat awam oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji serta mesti dikecam,” kata Anwar menerusi hantaran akaun rasmi Facebook beliau.
Peristiwa serangan itu berlaku ketika mangsa mengawal keadaan dalam operasi pengosongan beberapa rumah berikutan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan di kawasan berkenaan.
Sulizmie mengalami luka berdarah di bahagian muka susulan kekecohan akibat rempuhan penduduk yang mendesak untuk dibenarkan masuk ke kawasan itu, ketika operasi diketuai oleh bailif mahkamah.
Mengulas lanjut, Anwar turut menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan dengan segera dan memberkas dalang yang dikenal pasti sebagai terlibat dalam kejadian serangan tersebut.
"Bagaimanapun, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk lebih bertanggungjawab serta mesti patuh tunduk kepada hukum, adab dan undang-undang," tambah beliau dalam hantaran berkenaan.
Beliau menegaskan ruang demokrasi yang terbuka di Malaysia tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai alat oleh mana-mana pihak bagi menghasut kebencian atau menyebar maklumat palsu.
Perdana Menteri mengingatkan, sebarang bentuk perkara yang menyemai budaya keganasan tidak boleh dibiarkan berakar dalam masyarakat, khususnya di sebuah negara berbilang kaum dan agama.
“Berhimpun secara aman tidak harus disalah guna untuk kepentingan politik sempit sehingga mencetuskan suasana yang tidak tenteram dalam kalangan rakyat kita sendiri,” tambah beliau.
Anwar turut melampirkan beberapa gambar insiden berkenaan yang dirakamkan jurufoto akhbar tempatan dan hantaran itu menerima reaksi sokongan daripada ribuan warganet. - DagangNews.com








