KUALA LUMPUR 25 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan strategik untuk memuktamadkan rundingan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan Amerika Syarikat (AS).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia akan membantu menjadi panduan dalam perancangan dasar dan perniagaan kedua-dua negara.
Anwar berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer bersama delegasi beliau sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di ibu negara hari ini.
“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan mengenai hubungan strategik antara kedua-dua negara dan ASEAN, khususnya dari perspektif perdagangan,” tulisnya di akaun rasmi media sosial beliau.


Anwar turut menambah, sebagai sebuah negara berteraskan perdagangan terbuka, Malaysia sentiasa memperkukuh hubungan dengan semua rakan dagangan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan.
Semalam, Greer telah menghadiri Mesyuarat Rundingan Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN-AS (AEM-USTR) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - DagangNews.com








