Plytec mohon pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Plytec mohon pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Plytec Holding Bhd, syarikat kejuruteraan pembinaan telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memindahkan penyenaraiannya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Permohonan tersebut telah dihantar pada 30 Jun lalu dan pemindahannya ke Pasaran Utama dijangka selesai dalam separuh kedua tahun ini, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

Plytec memaklumkan syarikat itu telah berjaya memenuhi semua kriteria yang ditetapkan termasuk rekod keuntungan, kedudukan kewangan, pegangan saham awam dan syarat ekuiti Bumiputera.

 

Syarikat itu berjaya meraih untung bersih terkumpul RM35.81 juta dalam tiga tahun kewangan hingga Disember 2024.

 

Untuk tahun 2024, keuntungan selepas cukai yang diselaraskan adalah sebanyak RM12.87 juta.

 

Di bawah garis panduan ekuiti SC, syarikat yang ingin berpindah ke Pasaran Utama perlu menunjukkan keuntungan tanpa gangguan selama tiga hingga lima tahun dengan jumlah minimum keuntungan selepas cukai RM20 juta dan sekurang-kurangnya RM6 juta untuk tahun terkini.

 

Plytec menyatakan ia berada dalam kedudukan kewangan yang sihat tanpa kerugian terkumpul dengan baki keuntungan tidak diagih berjumlah RM88.69 juta setakat 31 Disember 2024.

 

Syarikat juga merekodkan aliran tunai bersih positif untuk tempoh tiga tahun berturut-turut dengan RM21.44 juta hasil daripada aktiviti operasi pada 2024.

 

Plytec turut mempunyai modal kerja mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan.

 

Dari segi pegangan saham awam, syarikat melaporkan 33.9% saham terbitannya dimiliki oleh pemegang saham awam. - DagangNews.com