PLS Plantations bekerjasama dengan Nippon Paper Group dari Jepun bangunkan ladang Eucalyptus berskala besar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PLS Plantations bekerjasama dengan Nippon Paper Group dari Jepun bangunkan ladang Eucalyptus berskala besar

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb – PLS Plantations Berhad menjalin kerjasama strategik dengan Nippon Paper Group dari Jepun bagi meneroka pembangunan ladang eucalyptus berskala besar serta menjalankan penyelidikan teknikal berkaitan di Malaysia.

 

Eucalyptus ialah pokok kayu industri yang cepat tumbuh, ditanam untuk pengeluaran kepingan kayu, kertas serta biomassa bagi menyokong agenda kelestarian dan penyerapan karbon.

 

Kerjasama itu dijalin menerusi perjanjian kerjasama strategik (SPA) dan perjanjian penyelidikan bersama (JRA) antara PLS, Nippon Paper Industries Co. Ltd. dan Nippon Paper Lumber Co. Ltd., yang bertujuan memperkukuh kolaborasi jangka panjang dalam sektor perladangan dan biomassa.

 

Di bawah SPA, kedua-dua pihak bersetuju mewujudkan rangka kerja kerjasama selama tiga tahun untuk menilai kebolehlaksanaan komersial pembangunan ladang eucalyptus berskala besar melibatkan keluasan sekitar 20,000 hingga 30,000 hektar di Malaysia.

 

PLS dipilih sebagai rakan strategik berdasarkan rekod prestasi dan keupayaan operasinya dalam perladangan, manakala Nippon Paper Group membawa kepakaran teknikal serta teknologi dalaman dalam pembangunan dan pengurusan hutan industri, khususnya eucalyptus.

 

Melalui kerjasama itu, Nippon Paper Group akan menyediakan sokongan teknikal dan khidmat nasihat kepada operasi ladang PLS, termasuk aspek silvikultur dan produktiviti, manakala PLS akan menyumbang data operasi, kepakaran tempatan serta tapak ladang yang dikenal pasti di Johor dan Pahang.

 

Selain kegunaan tradisional seperti kepingan dan kayu gergaji, kedua-dua pihak turut meneroka potensi penggunaan eucalyptus sebagai bahan mentah biomassa, termasuk pengeluaran pellet hitam dan arang bio, sejajar dengan permintaan global terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui.

 

Kerjasama itu juga merangkumi penilaian potensi penyerapan karbon di bawah amalan pengurusan hutan mampan serta peluang penjanaan nilai alam sekitar, termasuk pembangunan kredit karbon.

 

Susulan SPA itu, PLS bersama anak syarikatnya, Aramijaya Agri & Agro Sdn. Bhd. serta rakan usaha sama melibatkan YPJ Holdings Sdn Bhd dan Nippon Paper Group telah menandatangani JRA yang memperincikan skop, metodologi dan pelaksanaan penyelidikan bersama.

 

Aktiviti penyelidikan akan dijalankan di tapak perintis di Johor dengan sokongan pakar Nippon Paper Group manakala PLS dan Aramijaya Agri & Agro akan menyediakan tanah, kemudahan nurseri dan sumber operasi lapangan bagi menyokong pelaksanaan kajian tersebut.

 

PLS berkata kerjasama ini dijangka membuka laluan kepada pembangunan industri kayu dan biomassa yang lebih mampan di Malaysia, di samping mewujudkan potensi nilai pembangunan jangka panjang, peluang pekerjaan serta pemindahan teknologi, selari dengan agenda ESG dan inovasi hijau negara. - DagangNews.com