PKNS disahkan sebagai pihak yang bertindak bersama (PAC) dalam cadangan pengambilalihan Sunway–IJM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PKNS disahkan sebagai pihak yang bertindak bersama (PAC) dalam cadangan pengambilalihan Sunway–IJM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Feb - Dokumen tawaran rasmi yang diterbitkan hari ini mendedahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) disahkan sebagai pihak yang bertindak bersama (PAC) dalam cadangan pengambilalihan IJM Corporation Bhd oleh Sunway Group.

 

Menurut dokumen yang difailkan juga di Bursa Malaysia, PKNS memegang 40% ekuiti dalam Sunway PKNS Sdn Bhd, anak syarikat Sunway secara tidak langsung sebanyak 60%.

 

``Ini menjadikannya pemegang kepentingan strategik dalam transaksi yang melibatkan 3.51 bilion saham IJM," menurut dokumen yang Sunway dan Maybank Investment Bank.

 

Selain PKNS, PAC lain adalah Chung Seow Hun iaitu isteri Cheah Kek Lin, adik kepada pengasas Sunway Group, Tan Sri (Dr.) Jeffrey Cheah.

 

 

 

 

 

 

Turut tersenarai ialah Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) memegang 49% ekuiti dalam Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd, sebuah subsidiari yang dimiliki 51% secara tidak langsung oleh Sunway.

 

CGC, adalah sebuah entiti yang dimiliki secara majoriti oleh Bank Negara Malaysia (sekitar 78.6%).


 

solar

 

Cadangan Pengambilalihan

Cadangan pengambilalihan ini telah menarik perhatian pasaran kerana nilai tinggi, struktur kompleks, dan potensi untuk menggabungkan dua pemain utama industri pembinaan dan hartanah Malaysia.

 

Gabungan ini akan memiliki tanah lebih 2,300 hektar dengan GDV sekitar RM118 bilion, meletakkannya sebagai pesaing utama kepada syarikat seperti Gamuda Bhd.

 

Sunway dikenali dengan pembangunan bandar bersepadu serta aset kesihatan dan pendidikan, manakala IJM menyumbang infrastruktur seperti lebuh raya, pelabuhan, kuari, dan kapasiti pembinaan industri.

 

Pasaran menunjukkan reaksi bercampur

Saham IJM meningkat kepada paras tertinggi empat bulan, manakala saham Sunway mengalami volatiliti kerana pelabur menilai implikasi kewangan.

 

Analisis turut menekankan bahawa struktur tawaran (10% tunai, 90% saham baru) adalah lebih kompleks daripada tawaran tunai sepenuhnya dan mungkin menjejaskan tahap penerimaan.

 

Cadangan ini juga membawa risiko pengawalseliaan dan operasi, dengan siasatan oleh SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap IJM, selain senario “50%-75%” yang boleh menimbulkan konflik kepentingan dengan Sunway Construction (SunCon).

 

Langkah ini mengejutkan pasaran kerana kedua-dua syarikat pernah menafikan rundingan penggabungan pada November 2025.

 

 

 

 

 

 

 

Sunway menyasarkan untuk mengambil IJM secara persendirian jika berjaya memperoleh lebih 75% pegangan, dengan sokongan penting daripada pemegang saham utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF).

 

Penglibatan PKNS sebagai PAC menekankan peranan strategik agensi negeri dalam transaksi korporat besar ini dan kedudukannya sebagai pemegang kepentingan strategik dalam ekosistem Sunway yang diperluaskan. - DagangNews.com