PKB bekerjasama dengan Bumi Barakah, Medicconsult bangunkan hospital swasta baharu di Alor Setar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PKB bekerjasama dengan Bumi Barakah, Medicconsult bangunkan hospital swasta baharu di Alor Setar

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt – Satu lagi hospital swasta baharu bakal dibina di Alor Setar susulan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB), Bumi Barakah Development Sdn Bhd dan Medicconsult Sdn Bhd.

 

Ia adalah kerjasama strategik ketiga-tiga pihak tersebut untuk membangunkan sebuah hospital swasta dengan kapasiti 100 katil di Anak Bukit, Alor Setar.

 

Projek tersebut dianggarkan mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM165 juta dengan potensinya untuk diperbesarkan sehingga 300 katil pada masa hadapan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Mohd Azad Jasmi berkata, pembinaan hospital swasta baharu itu adalah untuk memperkukuhkan ekosistem penjagaan kesihatan selain memberi lebih banyak pilihan rawatan kepada penduduk di kawasan sekitar.

 

"Pembinaannya berkonsepkan “Asset-Light Operator Model”, di mana pengendali hospital bertauliah akan menguruskan operasi hospital tanpa menanggung risiko pembinaan," katanya.

 

Berdasarkan terma MoU tersebut, PKB akan berperanan sebagai penyelaras strategik dengan memudah cara kerjasama bersama pihak berkuasa negeri dan Persekutuan serta menilai potensi pelaburan atau penyertaan ekuiti.

 

Bumi Barakah Development Sdn Bhd pula akan menyediakan tanah seluas kira-kira lima ekar yang terletak berdekatan Hotel Raia dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

 

Syarikat itu juga akan bertindak sebagai promoter projek, menyelia urusan pemilikan tanah serta rundingan bersama pelabur dan rakan pembinaan.

 

Tambahnya, hospital swasta itu juga adalah sebahagian daripada inisiatif PKB untuk memacu projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat negeri Kedah.

 

“Perkongsian strategik ini menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh landskap pelaburan dan penjagaan kesihatan di Kedah.

 

"Ia juga menyerlahkan komitmen berterusan PKB dalam melaksanakan projek yang bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi negeri, malah memposisikan Kedah sebagai hab baharu pembangunan penjagaan kesihatan lestari di wilayah utara Malaysia,” katanya.

 

Projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor kesihatan negeri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu, selain menyokong agenda kerajaan negeri Kedah dalam menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi ke dalam negeri.- DagangNews.com