PJBumi, Silver City Drilling bentuk konsortium strategik pengurusan projek bersepadu sektor tenaga di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PJBumi, Silver City Drilling bentuk konsortium strategik pengurusan projek bersepadu sektor tenaga di Indonesia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Okt – PT Indodrill Bumi Perkasa (IBP), anak syarikat milik 90% tidak langsung PJBumi Bhd memeterai Perjanjian Konsortium bersama PT Silver City Drilling (SCD) bagi menjalankan kerja-kerja Pengurusan Projek Bersepadu (IPM) dalam sektor minyak dan gas termasuk tenaga geoterma di Indonesia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PJBumi berkata, perjanjian yang ditandatangani pada 16 Oktober 2025, akan menyaksikan pembentukan Konsortium IBP-SCD, yang bakal menyertai dan melaksanakan kontrak-kontrak IPM yang dianugerahkan oleh pemilik projek (IPM Employer) di seluruh wilayah Indonesia.

 

Di bawah struktur perjanjian itu IBP akan bertindak sebagai peneraju dan ahli Konsortium, manakala SCD akan berperanan sebagai ahli penyumbang kepakaran teknikal.

 

Menurut perjanjian itu, semua komunikasi rasmi bagi tujuan penyertaan tender serta pelaksanaan kontrak akan dijalankan atas nama “Konsortium IBP-SCD”, termasuk semasa proses penilaian kelayakan, sesi penerangan prabida, serta pembukaan bidaan.

 

Setiap kontrak IPM yang bakal dimeterai akan memerlukan persetujuan bersama antara kedua-dua pihak terhadap terma komersial, sebelum sebarang penglibatan lanjut dalam proses tender dijalankan.

 

Skop kerja IBP merangkumi mobilisasi awal dan antara lokasi telaga, pembekalan peralatan dan barangan sokongan bagi perkhidmatan penggerudian dan penyediaan tenaga kerja tempatan bagi aktiviti sokongan lapangan.

 

Sementara itu, SCD akan bertanggungjawab terhadap perkhidmatan kerja over dan penggerudian lengkap dengan tenaga kerja teknikal dan pembekalan serta pengendalian peralatan berat.

 

Selain itu SCD turut bertanggungjawab kepada pelaksanaan Sistem Pengurusan Penyiapan (CMS) dan sistem Kualiti, Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (QHSE), serta semua aspek berkaitan kerja penggerudian dan kerja over.

 

Konsortium juga mempunyai opsyen untuk melantik pihak ketiga sekiranya diperlukan bagi melaksanakan kerja penggerudian mendatar (directional drilling).

 

Tempoh sah perjanjian ini adalah tertakluk kepada sama ada Konsortium IBP-SCD berjaya memperoleh kontrak IPM. Perjanjian hanya boleh ditamatkan lebih awal dengan persetujuan bertulis kedua-dua pihak. - DagangNews.com