Pinjaman baharu berjaya dikurangkan kepada RM76.8 bilion sejak Kerajaan MADANI memerintah - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pinjaman baharu berjaya dikurangkan kepada RM76.8 bilion sejak Kerajaan MADANI memerintah - Amir Hamzah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Sejak Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, pinjaman baharu telah berkurang daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan seterusnya kepada RM76.8 bilion pada 2024 iaitu pengurangan melebihi RM20 bilion dalam tempoh dua tahun.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan reformasi fiskal di bawah Kerajaan MADANI telah membuahkan hasil dengan penurunan kadar defisit secara beransur-ansur daripada 5.5% (2022) kepada 5.0% (2023), dan seterusnya 4.1% pada tahun 2024.

 

Menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan defisit kepada 3.8% daripada KDNK.

 

 

 

 

 

 

"Walaupun kerajaan masih meneruskan langkah konsolidasi fiskal, namun seiring dengan Kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan tetap dapat melaksanakan usaha berterusan bagi meringankan kos sara hidup rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan dengan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan yang komprehensif.

 

"Ini termasuklah peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya iaitu termasuk tambahan RM2 bilion Penghargaan SARA secara one-off yang diumumkan pada 23 Julai 2025," katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang bertanya dalam keadaan beban hutang yang tinggi, di masa hadapan apakah ada jaminan bahawa peruntukan untuk program mengatasi kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan bantuan perumahan rakyat tidak akan dipotong atau dikurangkan.

 

Amir Hamzah berkata, peruntukan bantuan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tahun 2025 juga telah ditambah kepada RM2.9 bilion. 

 

"Kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 sebulan berbanding RM500 sebulan. Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin turut dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 seorang bagi anak berusia 6 tahun dan ke bawah, dan daripada RM150 kepada RM200 seorang bagi anak lingkungan usia 7 hingga 18 tahun, tertakluk kepada kadar maksimum RM1,000 sekeluarga," katanya.

 

Amir Hamzah berkata, tambahan peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM791 juta disediakan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga; dan peruntukan sejumlah RM1 bilion disediakan bagi menangani kos sara hidup dengan lebih meluas termasuk pengawalan harga bahan asas seperti beras dan minyak masak seperti Program Payung RAHMAH yang telah disediakan peruntukan sebanyak RM600 juta bagi tahun 2025.

 

"Jualan RAHMAH diperhebatkan lagi bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan memanfaatkan semua golongan termasuk golongan M40," katanya.

 

Beliau menegaskan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan walaupun pada masa ini kerajaan berdepan disiplin fiskal yang ketat ekoran hutang negara masih berada pada paras tinggi.

 

"Kerajaan akan terus memastikan program-program yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat seperti bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan, pendidikan dan kesihatan diteruskan dan ditambahbaik dari masa ke semasa. 

 

"Dalam hal ini, perbelanjaan sosial akan terus menjadi perbelanjaan terlindung (protected expenditure) dalam belanjawan negara. Walaupun kerajaan berusaha mengurangkan defisit fiskal dan mengawal paras hutang, komitmen terhadap rakyat kekal menjadi fokus utama khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan," katanya.

 

Amir Hamzah berkata, komitmen kerajaan boleh dilihat pada peningkatan bilangan infrastruktur seperti pembinaan sekolah baharu daripada 26 buah sekolah pada 2024 kepada 44 buah sekolah pada 2025.

 

Tambahnya, pembinaan semula sekolah daif juga meningkat dari 450 buah sekolah pada 2024 kepada 543 buah sekolah pada 2025, dan penyenggaraan klinik daif dari 422 buah klinik pada 2024 kepada 486 buah klinik pada 2025.

 

 

 

 

 

Di dalam Belanjawan 2025 pula, Amir Hamzah berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM86 bilion untuk sektor pendidikan berbanding RM80.5 billion (2024), RM45.7 bilion bagi sektor kesihatan berbanding RM40.0 bilion (2024) dan sektor perumahan RM3.8 bilion berbanding RM2.8 bilion (2024).

 

Selain daripada itu, katanya, Kementerian Kewangan melalui kenyataan PraBelanjawan 2026 yang telah diterbitkan pada 08 Ogos 2025 yang lalu turut menekankan bahawa Belanjawan 2026 akan membina kesinambungan usaha terdahulu untuk mengangkat asas kehidupan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi memberi kesan langsung kepada kualiti hidup rakyat yang lebih baik. - DagangNews.com