KUALA LUMPUR 23 Feb - Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Rang Undang-Undang (RUU) itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat.
Bacaan kali kedua dan ketiga RUU tersebut dijadualkan berlangsung pada Mac depan.
Cadangan pindaan itu melibatkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan pelantikan Perdana Menteri.
Fasal baharu 2(a) yang dicadangkan menetapkan bahawa seseorang Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan bagi tempoh melebihi 10 tahun, sama ada secara berterusan atau sebaliknya.
Menurut Fasal baharu (4b), Jemaah Menteri juga akan terbubar sebaik sahaja tempoh 10 tahun Perdana Menteri berakhir.
Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang tamat tempoh bagaimanapun dibenarkan menjalankan tugas sebagai kerajaan sementara di bawah Fasal baharu (4c) Perkara 43 sehingga kerajaan baharu dibentuk, namun dengan fungsi yang terhad.
Tempoh perkhidmatan seseorang Perdana Menteri sebelum penguatkuasaan undang-undang baharu ini turut akan diambil kira dalam pengiraan had 10 tahun tersebut.
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal merupakan antara janji reformasi utama yang diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Pembentangan pindaan ini sekali gus mencatat sejarah penting dalam landskap reformasi institusi negara apabila komitmen yang dijanjikan lapan tahun lalu akhirnya dibawa ke Parlimen untuk direalisasikan. - DagangNews.com








