Dalam tempoh 2 tahun lagi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menerima aset terbarunya iaitu kapal misi pelbagai guna (MPMS) buatan Türkiye.
Ia susulan Surat Setuju Terima (SST) perolehan kapal tersebut yang dimeterai kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan syarikat Desan Shipyard.
SST bagi perolehan kapal itu ditandantangani antara Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman dan Pengerusi Lembaga Desan Shipyard Cenk Ismail Kaptanoglu.
SST adalah surat rasmi yang memaklumkan penerimaan tanpa bersyarat daripada kerajaan ke atas tawaran yang dikemukakan oleh syarikat.

Pemeteraian ini bermakna proses pembinaan kapal bakal dimulakan tidak lama lagi.
Pembelian kapal bernilai RM304.29 juta ini membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan APMM.
Ia selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim negara khususnya di Laut China Selatan.
Desan Shipyard menjadi limbungan perkapalan kedua Türkiye yang diberikan kontrak oleh kerajaan Malaysia untuk membina kapal ronda selepas syarikat STM.
STM kini sedang menyiapkan pembinaan 3 buah kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi kontrak bernilai RM2 bilion.


Pemilihan limbungan perkapalan luar negara untuk menyiapkan kapal-kapal tersebut dilihat keputusan bijak kerajaan setelah berlaku kegagalan dalam projek LCS TLDM dan OPV APMM.
Kelewatan menyiapkan 3 kapal OPV kini memberi kesan kepada APMM apabila kapal-kapal yang sepatutnya diterima kesemuanya 5 tahun lalu gagal dihantar.
Hanya 1 daripada 3 kapal tersebut disiapkan iaitu OPV KM Tun Fatimah menyebabkan armada APMM masih tempang.
Kapal MPMS sepanjang 99 meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang.
Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan.


Dengan teknologi tersebut kapal ini mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.
Melihat pada saiznya, MPMS menyamai reka bentuk sebuah kapal ronda pesisir (OPV).
Berbeza sebelum ini apabila rekabentuk MPMS yang dibayangkan adalah seperti sebuah kapal sokongan logistik dan bukan berbentuk kapal peronda.
Ini bermakna APMM sebenarnya sangat memerlukan kapal peronda yang pada masa sama melaksanakan tugas rondaan jauh dalam jangka masa lama selain boleh menjadi kapal induk.
Sebagai perbandingan, OPV KM Tun Fatimah yang dibina menggunakan reka bentuk kapal Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dan berkeupayaan melakukan operasi di laut sehingga 21 hari tanpa ulang bekal.


Ia juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti bantuan kemanusiaan, bertindak sebagai kapal logistik, menjadi kapal induk dan kapal pemerintah serta menjadi tempat penyimpanan kelengkapan menghadapi ancaman tumpahan minyak.
Bermakna kapal MPMS cuma 16 meter lebih panjang daripada OPV KM Tun Fatimah.
Walaupun KDN sebelum ini mengumumkan untuk menyambung semula pembinaan baki 2 buah OPV, namun projek tersebut jika dimulakan masih memakan masa panjang.
Ketika ini status OPV 2 sudah 76% siap manakala OPV 3 pula 57%.
Berdasarkan peratusan siap itu kapal OPV 2 dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan manakala OPV 3 pasti lebih lama lagi.

Ini kerana walaupun pembina baharu hanya perlu menyambung dua blok utama kapal, namun ia masih memerlukan masa panjang untuk pelbagai ujian sebelum kapal ditauliahkan.
Pada atas kertas, kerajaan menanggung kerugian kerana projek OPV yang menelan belanja hampir RM1 bilion ini gagal disiapkan kesemuanya.
Kegagalan projek OPV pada sudut lain telah menggugat keselamatan maritim negara.
Kerajaan juga perlu menyuntik tambahan RM200 juta lagi sekiranya ingin meneruskan pembinaan baki 2 buah kapal.
Kos tambahan ini menyamai untuk membina sebuah kapal baharu.
Justeru, menganugerahkan kontrak baharu kepada limbungan kapal yang benar-benar berkemampuan dilihat lebih bijak kerana syarikat luar negara seperti Desan mempunyai rekod pencapaian yang baik. - DagangNews.com








