KUALA LUMPUR 22 April — Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kini muncul sebagai cabaran utama kepada syarikat-syarikat teknologi Malaysia, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut menambah, permintaan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC) pada ketika ini namun masih dilihat terus menyokong pertumbuhan sektor teknologi.
Ujarnya, faktor pertukaran mata wang (forex) dijangka menekan margin keuntungan sekurang-kurangnya hingga separuh pertama 2026, dan mengehadkan pertumbuhan walaupun prospek industri kekal positif.
“Permintaan AI dan DC masih kukuh menjadi pemacu utama, tetapi tekanan margin akibat ringgit kukuh serta kos input yang meningkat menjadi cabaran jangka pendek,” kata Phillip Capital dalam notanya.
Jelasnya, hasil lawatan ke Pulau Pinang yang melibatkan sembilan syarikat teknologi baru-baru ini mendapati kebanyakan pemain sektor berkenaan tetap optimis dengan prospek pada sepanjang tahun.
Majoriti daripada syarikat tersebut menjangkakan pertumbuhan hasil sebanyak dua digit, didorong oleh permintaan berterusan dalam segmen berkaitan AI, DC serta peralatan fabrikasi wafer (WFE).
Bagaimanapun tambah Phillip Capital, pemulihan sektor itu secara keseluruhan masih tidak sekata, dengan segmen berkaitan AI menunjukkan pertumbuhan kukuh manakala segmen yang lain kekal lemah.
“Kadar penggunaan kapasiti sebenarnya masih sihat tetapi berbeza antara syarikat, mencerminkan pemulihan yang tidak seragam dalam rantaian bekalan teknologi,” jelas firma penyelidikan tersebut.

Selain itu, konflik geopolitik global turut menambah risiko kepada rantaian bekalan, termasuk isu kenaikan harga bahan mentah seperti plastik, perak dan palladium serta kos logistik lebih tinggi.
Phillip Capital namun menjelaskan, impak secara langsung kepada pemain industri tempatan setakat ini dilihat adalah amat terhad hanya dalam sekitar 0.5% hingga 1% pada margin perolehan mereka.
Kebimbangan lebih besar adalah isu gangguan bekalan global seperti helium yang kritikal untuk pembuatan semikonduktor sekiranya konflik berpanjangan dan menjejaskan laluan utama perdagangan.
"Justeru kami mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor teknologi, dan menyarankan pelabur kekal selektif dengan memberi tumpuan kepada syarikat kukuh kepada tema AI dan DC," jelasnya.
Antara pilihan utama Phillip Capital ialah UWC Berhad dan Frontken Corporation Berhad kerana keterlihatan pendapatan lebih baik serta kedudukan strategik dalam rantaian bekalan global.
Dalam pada itu, beberapa syarikat menunjukkan momentum positif termasuk peningkatan tempahan, kapasiti hampir penuh dan perluasan pelanggan, terutama segmen berkaitan AI dan semikonduktor.
Ia turut memberi amaran risiko utama sektor termasuk kelembapan permintaan global, kenaikan kos bahan mentah, pengukuhan berterusan ringgit serta konflik yang boleh menjejaskan rantaian stok.
“Walaupun asas pertumbuhan jangka panjang kekal teguh, faktor luaran masih menjadi penentu utama prestasi sektor dalam tempoh terdekat,” tambah Phillip Capital. - DagangNews.com








