KUALA LUMPUR 5 Mac — Dayang Enterprise Holdings Berhad dianggarkan meraih penyewaan mencecah RM13 juta untuk penyediaan kapal kerja penginapan (AWB) daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd.
Menurut Phillip Capital, kontrak terbaharu itu diberikan kepada anak syarikat milik penuh kumpulan tersebut, DESB Marine Services Sdn Bhd, bagi penggunaan kapal Dayang Mutiara pada 2 Mac 2026.
Tambahnya, kontrak berkenaan hanya akan bermula pada 1 Jun 2026 untuk tempoh awal 159 hari dengan pilihan lanjutan sehingga 60 hari lagi, namun nilai tender tidak didedahkan oleh syarikat itu.
"Kami menganggarkan kadar sewaan harian (DCR) daripada kontrak tersebut sekitar RM83,000, selaras dengan kadar bagi kapal AWB diuruskan Dayang pada tahun lalu," kata Phillip Capital dalam notanya.
Sehubungan itu jelas firma penyelidikan tersebut, berdasarkan kepada DCR yang sedia ada, ia menganggarkan nilai keseluruhan kontrak penyewaan dimeterai berkenaan adalah sekitar RM13 juta.
Ia turut mengunjurkan kontrak itu berpotensi menyumbang kira-kira RM3 juta kepada keuntungan selepas cukai (PAT) sepanjang tempoh penyewaan, bersamaan 2% daripada unjuran pendapatan 2026.
Bagaimanapun ujar Phillip Capital, sekiranya pilihan lanjutan tempoh 60 hari dilaksanakan, jumlah hasil penyewaan itu dijangka bertambah lagi sekitar RM1 juta kepada keuntungan Dayang sendiri.
Artikel berkaitan: Dayang Enterprise peroleh kontrak sedia bot penginapan 159 hari daripada PETRONAS Carigali
"Kami namun melihat perkembangan positif ini sebagai bersifat neutral kerana kontrak berkenaan sudah pun diambil kira dalam jangkaan kadar penggunaan armada sebanyak 60% bagi FY26," katanya.
Jelas firma penyelidikan tersebut, pada ketika ini empat kapal kumpulan itu terlibat dalam kontrak jangka panjang selama tempoh tiga tahun yang turut mempunyai pilihan lanjutan selama tiga tahun.
Penganugerahan kontrak kepada kapal Dayang kata Phillip Capital sekali lagi membuktikan keupayaan pelaksanaan kumpulan dan rekod prestasi kukuh dalam memperoleh kontrak berulang daripada PETRONAS.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) 12 bulan RM2.01 sesaham, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) 12 kali bagi unjuran 2026.
"Prospek pendapatan syarikat ini juga adalah kekal positif disokong oleh buku tempahan berbilang tahun yang besar sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan secara jangka panjang," tambahnya.
Phillip Capital namun mengingatkan antara risiko utama termasuk kelewatan tidak dijangka dalam pelaksanaan kerja, penurunan mendadak DCR serta peningkatan kos operasi melebihi unjuran. - DagangNews.com








